SHAH ALAM -– Majlis Belia Selangor (MBS) berharap kerajaan negeri tidak terus meminggirkan ahli-ahli MBS dan gabungan mereka disebabkan perbezaan ideologi politik.

Presidennya, Datuk Imran Tamrin berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberi perhatian kepada kelompok tersebut yang disisihkan sejak selepas Pilihanraya Umum ke 12 (PRU-12) pada tahun 2008.

“Sebagai Presiden MBS yang baharu saya berharap polisi-polisi kerajaan negeri kembali mendekati ahli MBS.

“Sebelum ini ahli-ahli MBS ditinggalkan dan dipinggirkan sejak tahun 2008 kerana perbezaan politik dan stigma yang mungkin meleset dan tersasar,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Petaling di Plaza Shah Alam hari ini.

Imran berkata, misi utama beliau dan pasukannya adalah untuk kembali bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan naratif perjuangan untuk golongan muda dapat dilakukan secara seiringan.

Katanya lagi, golongan muda hari ini mempunyai fahaman politik yang berbeza dan MBS di bawah kepimpinannya meraikan perbezaan tersebut.

“Hari ini sebagai Presiden MBS yang baharu kita bukan sahaja merangkumkan dan meraikan kesemua kepelbagaian, bukan sahaja agama, bangsa dan perbezaan etnik tetapi juga meraikan kepelbagaian pandangan dan arah politik masing-masing.

“Jadi hari ini kita berharap belia dilihat sebagai belia dan bukannya belia dianggap sebagai agen atau platform yang boleh diambil kesempatan oleh parti politik, tetapi kita ingin melahirkan generasi belia yang jelas dan matang dalam aspek demokrasi dan juga sekolah politik,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, belia di negeri tidak harus terikat dengan satu-satu parti politik dan pihaknya memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih fahaman politik mereka sendiri.

Beliau menambah, apa yang penting pihaknya menyediakan ekosistem dan kefahaman yang betul.

“Maksudnya kesemua parti politik mempunyai tanggungjawab yang sama, baik pihak kerajaan mahupun pihak bukan kerajaan.

“Tidak semestinya parti politik yang membentuk kerajaan parti politik yang betul dan baik dan tidak semestinya parti politik yang tidak berjaya membentuk kerajaan dan menjadi pembangkang akan dihukum,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply