SHAH ALAM -– Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dikejarkan ke hospital selepas rebah dalam satu program parti di Sungai Besar malam tadi.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu baru pulih penyakit kanser paru-paru itu dan kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin memberitahu, Jamal kini stabil dan sedang dipantau rapi doktor pakar hospital berkenaan.

“Datuk Jamal berada di wad dan keadaannya stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu 4 Ogos lalu, media melaporkan setelah berbulan terlantar di hospital dan merahsiakan apa yang dirasai setahun lalu, Jamal menyifatkan dirinya sebagai ‘mati hidup kembali’ apabila pulih sepenuhnya daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat.

Pakar memberitahu yang keadaannya ketika itu sukar untuk diselamatkan dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk bertahan.

Semua pakar kanser telah bersepakat bahawa Jamal hanya mempunyai hayat kira-kira 100 hari sahaja lagi iaitu sehingga Disember 2021.

Namun, dalam keadaan yang beliau mula redha dengan sebarang kemungkinan, Jamal mula mengubah cara kehidupan dan ia membuahkan hasil. — BebasNews

Leave a Reply