DALAM meniti hujung-hujung usia, setiap orang tak kira lelaki mahupun wanita pasti mendambakan seseorang untuk menjadi teman hidup mereka. Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi era-70-an, Junainah M Amin,69, yang tidak menolak jika bertemu jodoh lagi.

Junainah kini menetap bersendirian di Johor Bahru dan sering berulang-alik ke Kuala Lumpur melawat anak-anaknya, Sharmila Rahayu M Borhan, 42, Syahir Kadri, 29 dan tiga orang cucunya.

“Selepas kematian suami saya, Kadri Sabran ketika usianya 50 tahun pada tahun 2000 hingga sekarang saya tidak berkawin lagi. Mungkin tak ada jodoh lagi kot. Sebenarnya ada juga lelaki yang ingin cuba mendekati saya namun mereka macam takut-takut. Andai ada jodoh…terserah pada Allah.

“Ialah takut nak cakap tak nak kahwin lagi. Macam riak pula. Takut nanti Allah terbalikkan hati saya. Itu sebabnya bila bercakap bab kahwin ini, saya serahkan semuanya kepada Allah. Andai ada jodoh lagi, saya terima. Andai tak ada jodoh pun, hidup mesti diteruskan.

Junainah (berdiri tiga dari kiri) sering mengikuti acara amal bersama artis- artis tanahair.

“Bila bercakap bab kahwin ini, sebagai wanita kita ada hak untuk memilih. Takkan dah tua-tua saya nak hidup susah lagi. Itu sebabnya andai ada jodoh lagi, saya kena cari dan pilih lelaki yang betul-betul baik untuk dijadikan teman hidup,’’ kata Junainah yang juga pernah bergelar isteri kepada pengarah dan pelakon terkenal Deddy M. Borhan.

Kini untuk mengisi masa lapangnya, Junainah aktif sebagai agen hartanah membantu kawan baiknya mencari pelanggan.

Junainah menambah,“Saya ni jenis tak boleh duduk diam. Saya akan cepat bosan. Kalau dah tiga hari berperap dirumah, masuk hari keempat saya mesti keluar dari rumah walaupun sekejap. Kalau tidak, rasa aura saya tidak keluar dan saya akan rasa tertekan. Untuk dapatkan aura semula saya kena keluar rumah dan ambil semula aura yang fresh.”

Menyentuh mengenai dunia nyanyian pula, Junainah yang popular dengan lagu, Ku Sayang Pada Mu, Ratu Dunia Mu, Ikutku Menyanyi ini menambah, sehingga kini dia masih menerima undangan dan membuat persembahan di Malaysia dan Singapura.

“Alhamdulillah sehingga kini saya masih terima undangan menyanyi di sana sini. Saya masih suka menyanyi kerana inilah bidang yang saya minati sejak dulu lagi berbanding berlakon. Menyanyi ini senang, habis menyanyi kita dapat gaji dan boleh balik rumah

“Kalau berlakon kita kena menunggu. Itu sebabnya dulu saya tidak banyak berlakon hanya dalam filem Keluarga Si Comat dan sebagai pelakon undangan dalam Hapuslah Air Matamu.”

Junainah juga bersyukur dalam meniti usia sebegini dia masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tiada menghidap sebarang penyakit.

“Alhamdulillah. Setakat ini, saya tak ada apa-apa penyakit. Untuk terus sihat dan kekal bertenaga, saya cukup jaga pemakanan yang saya ambil. Saya kurang makan ayam mahupun daging. Saya banyak makan ikan dan sayuran yang dimasak secara bening (masak air).

“Malam saya tak makan dan kalau tak kemana-mana saya hanya makan apa saja yang ada didalam rumah seperti roti. Makanan sebegini sudah cukup buat saya. Melainkan keluar bersama kawan-kawan, barulah saya ambil makanan ‘berat’.

Anak kelahiran Singapura ini mula digilap bakatnya oleh komposer Kassim Masdor yang membawanya untuk menjadi artis rakaman EMI Singapura. Sepanjang bersama EMI beliau pernah menghasilkan dua LP dan lima EP.

Sebelum bergelar penyanyi solo, pada awal 70-an, Junainah M. Amin pernah mengikuti beberapa band di Singapura. Beliau pernah bersama kumpulan sepupunya Rudyn Alhaj, Kumpulan Impian Bateks dan kumpulan The Nite Walkers bersama Mike Ibrahim.

— BebasNews

Leave a Reply