SAFAWI Rasid menjadi satu daripada tiga pemain pilihan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon yang dilantik sebagai kapten Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-48, 2022 di Chiang Mai dari Khamis hingga Ahad ini.
Selain sayap kanan perembat kidal itu, Syafiq Ahmad dan Dion-Johan Cools turut akan menyarung lilitan lengan kiri ini apabila Malaysia menentang tuan rumah dan Trinidad & Tobago atau Tajikistan di Stadium Ulang Tahun Ke-700.
Penamaan mereka diumumkan ketua jurulatih warga Korea Selatan itu dalam laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.
Pan-gon ketika pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Jun lalu, turut menamakan lebih daripada seorang pemain sebagai penyandang peranan berkenaan.

Harimau Malaya yang layak ke pusingan akhir sebagai naib juara Kumpulan C kelayakan itu, dipimpin penjaga gol utama, Farizal Marlias ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 dan dikalahkan Bahrain 2-1.
Syafiq, penyerang, mengambil alih tugas kapten ketika mereka menumpaskan Bangladesh 4-1 namun Pan-gon juga menamakan bek tengah Cools dan perantara Safiq Rahim, menjadikan mereka berempat selaku penyandangnya.
Bek tengah, Aidil Zafuan Radzak menjadi kapten ketika skuad negara masih dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe dalam Piala AFF di Singapura, Disember lalu. — BebasNews


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.