DECLAN Lambert (enam dari kanan) menjalani latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM menjelang Piala Raja Thailand yang bermula Khamis ini. – Foto FAM

DECLAN Lambert menggemari posisi bek kanan kerana sesuai dengan kegunaan kaki utamanya tetapi dia mampu menyesuaikan diri sebagai bek kiri mahupun tengah jika itu yang dikehendaki jurulatih.

Justeru pemain Kuala Lumpur City FC berdarah kacukan England ini mahu mengagumkan barisan jurulatih Harimau Malaya dengan hasrat dan bakat serba bolehnya dalam panggilan pertama ke kem latihan pusat ini sejak kelmarin.

“Saya tidak kisah bermain mana-mana bek pun, saya utamakan bek kanan sebab lebih mudah kerana kerap menyepak kanan. Bek kiri atau bek tengah, di mana-mana yang jurulatih mahu letakkan, saya main.

“Saya berasa amat terhormat dan seronok dipanggil malah bangga mewakili negara (namun) ini panggilan pertama (jadi) saya masih belajar sekarang.

“Ada ramai pemain berkualiti juga dalam pasukan. Setiap posisi ada persaingan yang bagus dan saya mahu cuba kagumkan jurulatih,” katanya sebelum sesi latihan hari kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, semalam.

Declan yang turut mempunyai saudara kembar, Ryan Lambert sebagai perantara KL City FC, tersenarai antara lapan benteng Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Raja Thailand Ke-48, 2022 di Chiang Mai dari Khamis ini hingga 25 September ini.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon berdepan tuan rumah dalam perlawanan pertama sebelum menentang sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam penentuan tempat ketiga atau final di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai.

DECLAN Lambert, bek kanan KL City FC yang memburu penampilan sulung antarabangsa di Chiang Mai biarpun bakal bersaing sengit dengan Matthew Davies di posisi itu. – Foto FAM

“Shahrul Saad (digugurkan kerana kecederaan, semalam) satu kehilangan besar. Dia benteng yang besar dan mantap,” rujuknya kepada bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang lebih senior dalam Harimau Malaya itu.

Declan, 24, menyangkal andaian tugasan bersama pasukan negara ini mampu menjejaskan tumpuan persediaan KL City FC menjelang menentang Sogdiana Jizzakh dalam separuh akhir Piala AFC 2022 di venue kelab Uzbekistan itu, 2 Oktober ini.

“Masih ada ruang masa untuk berehat antara dua kejohanan itu. Saya harap dapat gunakannya. Mungkin ya (terjejas) tetapi sukar untuk katakan tidak kepada panggilan pasukan negara,” katanya.

KALAMULLAH Al-Hafiz Mat Rowi (dua dari kiri), Rahadiazli Rahalim (kiri) dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjalani latihan dengan jurulatih penjaga gol Harimau Malaya, Cho Jun-ho. – Foto FAM

Pemain Petaling Jaya City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pula melihat ketiadaan pilihan utama, Farizal Marlias dalam skuad negara sekarang, membuka peluang cerah kepadanya untuk merebut posisi tersebut.

“Apabila nama dipanggil untuk pasukan negara, itu satu pencapaian terbaik untuk diri saya dan peluang ini perlu dibuktikan dalam sesi latihan.

“Saya dan dua lagi penjaga gol (Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Rahadiazli Rahalim) tetap akan berikan yang terbaik jika diberi peluang (dalam kesebelasan utama),” kata anak jati Pasir Puteh, Kelantan ini.

Kalamullah, 27, hanya menyertai siri persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Oktober lalu tetapi belum menikmati penampilan antarabangsa termasuk ketika menentang Kemboja, Laos, Vietnam dan Indonesia dalam Piala AFF di Singapura, Disember lalu.

Ketika itu, dia sentiasa di belakang Khairul Fahmi Che Mat dan Khairulazhan Khalid.

KALAMULLAH Al-Hafiz Mat Rowi hanya bertandang ke Amman dan Singapura, tahun lalu namun belum beroleh sebarang kap antarabangsa. – Foto FAM

Leave a Reply