AKSI final Piala Emas Raja-raja 2019 yang dimenangi MISC (biru) setelah mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

BARU sahaja berjinak-jinak, terus mendapat ‘Kumpulan Maut’.

MySPRM-ACeIO menjadi antara dua muka baharu yang akan menghangatkan Piala Emas Raja-raja 100 Tahun, 2022 anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) dari 1 Oktober hingga 12 November ini.

Pasukan ini ialah gabungan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) diundi menganggotai Kumpulan C Zon Tengah yang venuenya di Lembah Klang.

Selain satu lagi pasukan penguat kuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ‘Kumpulan Maut’ dengan lawan lebih berpengalaman ini mengandungi naib juara 2019, Kuala Lumpur dan Selangor.

Muka baharu lain, Bomba Malaysia pula diundi dalam Kumpulan B Zon Timur yang tidak kurang getirnya bersama-sama juara Piala Agong 2019, Pahang, Terengganu-Jakim FC dan Kelantan.

Piala Emas Raja-raja yang kembali menjadi rebutan tahun ini  setelah tidak dapat dilangsungkan dek pandemik Covid-19, turut menawarkan hadiah wang tunai, RM40,000 buat juara edisi ke-80 ini.

CARTA pasukan peringkat kumpulan antara zon Piala Emas Raja-raja 100 Tahun selepas majlis undian di Wisma FAM, Kelana Jaya. Di tengah Piala Agong. – Foto AHA

Turut menarik ialah kembalinya Johor dalam kancah saingan yang kali ini berformat liga antara zon dengan dua pasukan teratasnya, akan terus berentap dalam peringkat kalah singkir (suku akhir, separuh akhir dan akhir).

Johor yang kali terakhir menjulang Piala Emas Raja-raja dengan menewaskan Kelantan 2-1 pada 2007, menyepi daripada pertandingan ini sejak 2016.

Majlis undian di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor hari ini, meletakkan Johor dalam Kumpulan A Zon Selatan dengan Negeri Sembilan, Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kumpulan D Zon Utara pula mengandungi Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dengan setiap pasukan sekurang-kurangnya berpeluang menjadi tuan rumah sekali.

Piala Emas Raja-raja tidak membenarkan penyertaan para pemain Liga Super, Perdana dan M3 manakala hanya tiga pemain bukan Melayu yang boleh disenaraikan setiap pasukan.

Perlawanan pembuka tirai musim 2022 yang menawarkan Piala Agong dan ganjaran RM10,000, menemukan pemenang 2019, Pahang dan naib juara Piala Emas Raja-Raja, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.

Majlis Sukan India Malaysia (MISC) mencipta sejarah selaku pasukan jemputan yang memenangi trofi pertandingan yang diasaskan pada 1922 ini, selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di stadium sama, tiga tahun lalu.

PIALA Emas Raja-raja menjadi rebutan 16 pasukan dalam edisi ke-80 yang bermula 1 Oktober ini termasuk dengan kembalinya Johor. – Foto AHA

Leave a Reply