KUALA Lumpur bergembira meraikan kejayaan menjuarai Piala Agong 2022 selepas membelasah penyandang, Pahang 4-1 sambil mengaut hadiah wang tunai RM10,000, semalam. – Foto PBMM

KUALA Lumpur melaungkan amaran awal menjelang Piala Emas Raja-raja 100 Tahun, 2022 yang bermula 1 Oktober ini apabila menjuarai Piala Agong selepas membelasah Pahang 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Skuad kendalian Zulkifli Samion ini bukan sahaja merampas trofi itu daripada penyandang 2019 dalam perlawanan pembuka tirai musim ini bahkan mengaut ganjaran wang tunai RM10,000.

Kuala Lumpur, naib juara Piala Emas Raja-raja 2019, beroleh gol-golnya menerusi Nabilah Khan Razali pada minit ke-20 dan 27 selain sepakan penalti M. Dinesh (39) dan Azman Othman (62).

Pelawat dari Pantai Timur yang juga juara hatrik Piala Agong 2017, 2018 dan 2019 pula hanya sempat merapatkan kedudukan 1-2 menerusi Firdaus Paris pada minit ke-32.

Pahang yang dibimbing pemenang Piala Malaysia 1992, Zulhamizan Zakaria, sekadar membawa pulang sagu hati RM5,000 selaku naib juara.

PERSAINGAN sengit Kuala Lumpur (jersi merah putih) dengan Pahang dalam perlawanan Piala Agong 2022. – Foto PBMM

Kali terakhir Kuala Lumpur memenangi Piala Agong ialah pada 1994, juga bergelar juara berganda dengan Piala Emas Raja-raja.

Bagi edisi ke-80 Piala Emas Raja-raja, Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan C Zon Tengah dengan Selangor dan Polis Diraja Malaysia serta pasukan jemputan muka baharu, MySPRM-ACeIO.

Pahang pula menganggotai Kumpulan B Zon Timur dengan satu lagi pendatang baharu, Bomba Malaysia, Terengganu-Jakim FC dan Kelantan.

Piala Emas Raja-raja tidak dapat dilangsungkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Pasukan jemputan, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) menjuarainya, tiga tahun lalu dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di stadium sama.

PEMAIN Kuala Lumpur, Aiman Mohamad (19) saling bersaing bola di udara dengan Muhammad Haffudin dari Pahang. – Foto PBMM

Sejak Piala Emas Raja-raja dipertandingkan pada 1922 (muda setahun daripada Piala Malaya/Malaysia), Kelantan muncul pemenang terbanyak iaitu 13 kali.

Kejohanan tahunan ini dan Piala Agong merupakan anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) yang juga ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

PEMAIN Kuala Lumpur, Zikri Mohd. Hafis (kanan) yang mengawal bola daripada asakan pemain Pahang, turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Piala Agong 2022. – Foto PBMM

 

SENARAI JUARA PIALA AGONG

1962: Melayu Selatan

1963: Melayu Selatan

1964: Melayu Utara

1965: Melayu Utara & Selatan

1966: Melayu Utara & Selatan

1967: Melayu Utara

1968: Melayu Utara

1969: Melayu Utara

1972: Melayu Selatan

1973: Melayu Utara

1974: Melayu Utara

1975: Melayu Selatan

1978: Johor

1979: Kelantan

1980: Kelantan

1981: Singapura

1982: Singapura

1983: Singapura

1984: Singapura

1985: Kelantan

1986: Wilayah Persekutuan

1987: Selangor

1988: Johor

1989: Johor

1990: Johor

1991: Kelantan

1992: Kelantan

1993: Perlis

1994: Kuala Lumpur

1995: Kelantan

1996: Kedah

1997: Kedah

1998: Pulau Pinang

1999: Pulau Pinang

2000: Pulau Pinang

2001: Kelantan

2003: Kelantan

2005: Pahang

2006: Pahang

2007: Pahang

2008: Johor

2009: Johor & Kelantan

2010: Perlis

2011: Kelantan

2013: Perak

2014: Perak

2015: Perak

2016: Negeri Sembilan

2017: Pahang

2018: Pahang

2019: Pahang

2022: Kuala Lumpur

Leave a Reply