RASANYA sudah lama tidak melihat kelibat pelakon veteran, Rosnah Johari dilayar kaca sekarang ini. Kesempatan bertemunya baru-baru ini memberi peluang bertanyakan khabar dan perkembangan terbaru dirinya.

Rosnah Johari, 59, yang lebih senang membahasakan dirinya dengan panggilan Akak berkata, Akak tidak menghilang dan masih aktif dalam industri lakonan.

“Lakonan ini dunia dan karier Akak. Mana Akak nak menghilang. Kalau hilang pun sebab tak ada tawaran berlakon. Ini pun dah sebulan lebih Akak tidak berlakon sejak Ogos lalu. Nasib baik ada drama yang ditayangkan di slot Samarinda, Biarkan Ia Pergi sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis setiap jam 10 malam di TV3 dan Pekan Kecil Kampung Terpencil sebanyak 10 episod di RTM.

“Entahlah tak tahu mengapa sudah lama tak dipanggil berlakon. Mungkin tak ada watak yang sesuai kot. Sebagai pelakon, Akak tak ada kejar watak tertentu sebab kerja Akak berlakon. Apa saja watak yang ditawarkan, Akak akan bawa sebaik mungkin. Kalau tak sesuai, Akak akan tolak seperti tawaran sebelum ini yang ingin menampilkan adegan flashback yang memerlukan akak tanggalkan tudung.”

Rosnah menambah, untung pelakon-pelakon muda yang menjadi hero dan heroin sesebuah drama mahupun filem kerana bayaran yang mereka terima cukup lumayan berbanding artis-artis lama.

“Nak buat macam mana. Bidang lakonan ini karier pilihan Akak. Jadi Akak kena reda dengan apa yang terjadi. Nak ikut memang sedih bila bercakap pasal bab bayaran. Mana tak sedih dan sakit hati, bila kita tahu artis baru boleh dapat bayaran berpuluh ribu untuk drama episod. Kita yang dah lama berlakon nak dapat banyak pun susah.

“Bayaran Akak dari dulu hingga sekarang masih di tahap yang sama… susah nak naik. Akak difahamkan pelakon yang membawa watak hero atau heroin, boleh mendapat bayaran sehingga RM3,000 untuk satu episod. Kami yang veteran ini untuk satu episod dibayar RM1,000 hingga RM1,500 sahaja dan nak dapat RM2,000 memanglah susah.

“Tapi kalau ada rezeki, ada juga produksi yang bayar mahal dan ada juga yang memberi bayaran yang murah. Apa-apa pun berbalik pada rezeki. Kalau dah rezeki… memang tetap jadi rezeki Akak.”

Rosnah Johari mula berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 80-an. Lakonannya yang mantap dalam drama Sayang Sarawak telah membolehkan Rosnah menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Seri Angkasa 1989.

Menyentuh mengenai watak pula, ujar Rosnah ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, Memang sekarang trend pelakon muda diambil membawakan watak sebagai emak.

“Nak buat macam mana dah trend sekarang, pelakon muda disolek menjadi tua. Kami dapat watak pun kalau produksi ingin pelakon yang berumur macam pelakon-pelakon veteran seangkatan Akak. Selalunya, Akak dipilih untuk membawakan watak-watak orang kampung. Kadang tu, ada juga bawa watak mak datin… tapi bukan mak datin yang glamour. Mak datin yang low profile,” katanya sambil ketawa.

Menyentuh mengenai kesihatan dirinya, jelas Rosnah nenek kepada tiga orang cucu ini lagi, “Alhamdulillah. Akak masih sihat. Setakat ini Akak tidak ada sebarang penyakit kencing manis mahupun darah tinggi. Mungkin kerana akak sudah mula menjaga kesihatan sejak muda lagi. Dari muda lagi, Akak rajin ambil makanan tambahan seperti Multivitamin dan jamu.

“Syukur juga kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan yang baik kepada Akak. Bila sihat dapatlah Akak terus berlakon untuk mencari rezeki dan tidak menyusahkan anak-anak. Lagipun bila berlakon dapatlah berjumpa dengan rakan-rakan.” — BebasNews

Leave a Reply