AKSI pengangkat berat peserta Sukma 2018. Gambar hiasan. – Foto MSN

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyifatkan pembatalan seluruh pasukan angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20, 2022 akibat tiga atlet dari dua negeri yang didapati positif ujian doping, sebagai yang ‘pertama seumpamanya’ di dunia malah berbeza dengan peraturan peringkat antarabangsa.

MSN merujuk pembatalan yang dikenakan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu yang jika berlaku pada peringkat antarabangsa, hanya akan membabitkan penyertaan atlet yang terbukti gagal ujian doping, lapor siaran medianya hari ini.

“Penganjur juga berbincang dengan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, sebelum taklimat angkat berat, Ahad lalu yang menjelaskan peraturan terbaru itu tidak terkandung dalam Peraturan Tetap dan Peraturan Am Sukma serta Peraturan Pertandingan Sukan Angkat Berat Sukma 2022 yang dimuktamadkan dengan PABM sebelumnya.

“PABM walau bagaimanapun bertegas dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma dipanggil pada hari sama untuk membincangkan arahan pembatalan penyertaan dua pasukan selain pendirian PABM yang tidak membenarkan semua pegawai teknikal bertugas sekiranya dua pasukan itu masih dibenarkan bertanding,” lapor siaran itu.

Jawatankuasa Pengelola Sukma menurut siaran berkenaan, berdukacita dengan keputusan PABM melarang pembabitan pegawai-pegawai teknikal daripada mengendalikan pertandingan angkat berat.

“Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma 2022 hanya dimaklumkan pada 13 September lalu mengenai ketetapan PABM untuk membatalkan penyertaan keseluruhan pasukan jika ada mana-mana atlet gagal ujian doping iaitu enam hari sebelum angkat berat dijadualkan berlangsung.

“Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pada 15 September lalu, membincangkan peraturan terbaru PABM itu dan sebulat suara bersetuju membenarkan penyertaan semua pasukan dengan atlet yang lulus ujian doping.

“Mesyuarat yang turut dihadiri semua Pengarah Majlis Sukan Negeri-negeri itu bersetuju meneruskan pertandingan angkat berat Sukma Ke-20 yang disertai semua pasukan dan memberi mandat pengurusan acara kepada Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma,” lapor siaran itu lagi.

Kebenaran meneruskannya atas dasar mengutamakan kepentingan atlet yang sudah terbukti bersih dan berhak menyertai Sukma 2022 namun Jawatankuasa Pengelola tidak pernah berkompromi dengan mana-mana atlet yang didapati gagal doping yang secara automatiknya tidak dibenarkan bertanding, tambah siaran tersebut.

AYUB RAHMAT

“Bagi sukan angkat berat di Sukma Ke-20, semua atletnya diwajibkan menjalani ujian doping 30 hari sebelum temasya sebagai langkah pencegahan demi memastikan hanya atlet yang bebas daripada pengambilan bahan terlarang, dibenarkan bersaing.

“Inisiatif ini diperkenalkan secara bersama MSN dan PABM sejak Sukma 2018 serta diteruskan untuk temasya kali ini. Ketika ujian 30 hari sebelum pertandingan, tiada peraturan ditetapkan PABM untuk membatalkan penyertaan seluruh pasukan jika ada atlet yang gagal ujian berkenaan,” lapor siaran berkenaan.

Pendirian terbaru PABM itu dihormati namun hanya boleh dilaksanakan sekiranya dimasukkan secara rasmi dalam Peraturan Sukma dan setiap negeri dimaklumkan perkara tersebut, menurut siaran itu lagi. — BebasNews

Leave a Reply