KUALA LUMPUR — Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan, Malaysia perlu beralih daripada bahan api fosil tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber boleh diperbaharui yang jauh lebih besar penggunaannya.

Menurut baginda, Malaysia juga perlu menyesuaikan mekanisme trajektori pertumbuhan ekonomi bagi memastikan ia menghormati sempadan planet.

Baginda bertitah, pembangunan mampan bukan saja membabitkan kelestarian alam sekitar, rangkuman sosial dan ekonomi yang meluas, malah pertumbuhan ekonomi.

“Daripada mengurangkan penggunaan tenaga, Malaysia perlu beralih daripada bahan api fosil yang tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui yang jauh lebih besar.

“Jika sumber digunakan dengan berkesan, penggunaan tenaga tidak perlu catuan. Begitu juga kaedah pengeluaran makanan semasa sama ada tanaman, ternakan atau ikan boleh disesuaikan supaya ia mampan dan regeneratif dan bukannya merosakkan.

“Kemajuan teknologi akan banyak membantu kita dalam usaha ini, seperti penggunaan dron untuk memudahkan pengagihan baja yang lebih tepat atau peningkatan kapasiti bateri untuk memudahkan penyimpanan tenaga.

“Pertumbuhan ekonomi boleh dan mesti diteruskan tetapi ia perlu dikurangkan daripada penggunaan sumber semula jadi yang terhad dan terlalu bergantung kepada ekosistem rapuh,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada The Cooler Earth Sustainability Summit 2022 hari ini.

Sultan Nazrin seterusnya bertitah, peralihan kepada kehidupan yang lebih baik tidak boleh hanya sekadar kata-kata, sebaliknya mesti dibuat secara nyata dengan dasar dan insentif yang perlu disesuaikan untuk memastikan pertumbuhan berterusan, namun menerusi cara yang mampan dan inklusif.

Titah baginda lagi, jalan ke hadapan mesti dibangunkan supaya pertumbuhan dapat diteruskan, namun pada masa yang sama kekal dalam sempadan planet dan mengurangkan tekanan sedia ada ke atas sumber utama seperti air, udara, tanah dan spesies habitat lain.

“Konsep kesihatan planet boleh membimbing kita dalam proses ini kerana ia membantu kita memahami pendekatan yang mana akan menyokong pertumbuhan yang sihat dan yang mana tidak.

“Kita mesti melihat dengan teliti model ekonomi regeneratif. Ini dicontohkan oleh ‘Doughnut Economics’ Kate Raworth, ‘Mission Economy’ Mariana Mazzucato dan kerja pembangunan mampan Jeffery Sachs.

“Ini semua memberikan hujah yang menarik untuk pendekatan yang berbeza terhadap pembangunan yang mengambil kira kesihatan dan kemampanan planet,” titah baginda.

Usaha ke arah kelestarian titah baginda, memerlukan tadbir urus alam sekitar yang lebih baik, oleh itu penyelarasan kawal selia dan pentadbiran yang lebih baik perlu dibangunkan antara agensi yang menguruskan hal ehwal alam sekitar.

“Kita perlu melaksanakan pendekatan berasaskan ekosistem yang merangkumi semua pihak berkepentingan dan sentiasa meletakkan rangkuman sosial dan ekonomi yang luas di tengah-tengah strategi kemampanan kita.

“Pembangunan inklusif, mengikut definisi mesti merangkumi keperluan kedua-dua generasi semasa dan akan datang. Pilihan yang dibuat sekarang akan meninggalkan kesan yang berkekalan bagi masa depan negara,” titah baginda. — BebasNews

Leave a Reply