Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, ekoran sindiket penipuan kerja seperti disuarakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurutnya, kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di negara luar seperti Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.

Sehubungan dengan itu, beliau memberi jaminan pelbagai usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan kerajaan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket.

“Ini bagi mendapatkan maklumat terperinci, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa
berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Katanya lagi, Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Terdahulu, kedua-dua NGO berkenaan menyertai sesi taklimat secara tertutup bersama Abdul Latif yang hadir bersama beberapa anggota keluarga dan waris mangsa jenayah perhambaan tersebut.

Ia susulan penyerahan memorandum MHO kepada Perdana Menteri semalam ekoran
pendedahan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah disiarkan pihak media pada 8 September lalu yang membongkar hampir 200 rakyat Malaysia menjadi mangsa.

Beberapa keluarga mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berharap agar Perdana Menteri dapat membantu mereka dengan berhubung terus dengan ketua kerajaan negara terbabit termasuk membawa isu berkenaan dalam sidang kemuncak ASEAN untuk dikongsi dandiberikan perhatian berat semua kerajaan. — BebasNews

Leave a Reply