Ezad Lazim akan menghibur pengunjung dan orang Langkawi sempena Mini Showcase Jiwa & Lagu pada 25 dan 26 November ini.

PENANTIAN Ezad Lazim untuk menjayakan persembahan solo, akhirnya dilaksanakan oleh New Dimension SVC Sdn. Bhd., selaku penganjur Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim di Ballroom Aseania Resort & Spa, Langkawi pada 25 dan 26 November ini.

Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 43, yang popular sebagai vokalis kumpulan Exists dari 1995 hingga 2007, berkata, sudah lama dia idam untuk mengadakan persembahan solo sebegitu tapi belum ada rezeki.

“Ini first time buat show solo dan tak pernah ada sebelum ini. Belum pernah ditawar buat show solo, saya akui mungkin lagu-lagu solo saya tak banyak yang hit berbanding Exists. Mungkin itu faktor utama.

“Dulu saya pernah hantar proposal untuk buat showcase solo di program TV tapi tak lulus mungkin kerana tak banyak lagu hit yang boleh diketengahkan, berbanding penampilan saya sebagai vokalis Exists,” katanya terus terang.

Persembahan Ezad akan diiringi oleh kumpulan Aantu pimpinan Adzrin Adzhar.

Malah, Ezad turut mengakui, antaranya dengan Exists tidak ada masalah walaupun kemunculannya di Langkawi tanpa rakan-rakan lain. Sebaliknya, persembahan mini showcase Ezad akan diiringi oleh band Aantu, pimpinan penyanyi dan komposer Adzrin Adzhar.

“Hakikatnya tak ada masalah pun dengan Exists. Bagi pendapat saya, benda ini tak ada apa pun, orang luar saja yang buat spekulasi kata kami berselisih faham.

“Sebelum ini pun saya buat show seorang tak ada pun dipertikaikan. Saya juga sempat buat rakaman semula lagu Exist, Mengintai Dari Tirai Kamar bersama Amysar Lee, okey saja.

Majlis pelancaran Mini Showcase Ezad bersama penganjur Dimension Sdn. Bhd., dan wakil Aseania Resort & Spa Langkawi, baru-baru ini

“Ada juga cadangan untuk ajak Exists sama tapi disebabkan ini hanya mini showcase dan tempat pun tak besar. Ini merupakan percubaan untuk penganjur dan saya pun dah kenal mereka. Saya okey saja bila mereka memberi peluang ini kepada saya.

“Lagipun, saya tak pernah buat showcase sendiri. Kalau nak persoalkan pun ada juga kenapa buat di Langkawi. Sebab jauh orang nak pergi. Bila fikir balik, okey saja sebab penganjur mendapat kerjasama dengan Aseania. Ini sedikit sebanyak kita saling membantu antara satu sama lain,” jelasnya tentang salah faham yang timbul dalam kalangan netizen.

Biarpun pertama kali akan bergandingan dengan Adzrin, Ezad yakin dengan kewibawaan guru vokal itu. Untuk persembahan tersebut, Ezad bakal mendendangkan lebih 10 buah lagu termasuk lagu duetnya bersama Adzrin dan peminat yang membeli tiket dan menghantar video nyanyian mereka ke Instagram Dimension untuk dipilih.

Pembeli tiket untuk mini showcase Ezad boleh mendapat harga istimewa jika menginap di Aseania Resort & Spa Langkawi.

Jelas Ezad, biarpun persembahannya tanpa rakan-rakan Exists namun lagu-lagu yang bakal didendangkan termasuklah lagu nyanyiannya bersama kumpulan tersebut.

Bagi yang ingin bercuti bersama keluarga di Langkawi dan menonton mini showcase Ezad jangan lepaskan peluang kerana pihak Aseania menawarkan harga istimewa kepada pembeli tiket showcase tersebut yang ingin menginap di resort berkenaan.

Tiket mini showcase dijual pada harga RM279 (Gold), RM229 (Silver), RM199 (Bronze) dan RM179 (Standard) yang boleh dibeli melalui talian 011-70270028 atau menerusi https://onlineticket.vip

Mini Showcase Jiwa & Lagu merupakan persembahan solo pertama Ezad Lazim selepas sekian lama dalam industri muzik.

— BebasNews

Leave a Reply