DION-JOHAN Cools (kiri) memulakan latihan di Chiang Mai menjelang Piala Raja Thailand sambil diawasi Kim Pan-gon (tengah). – Foto FAM

BEK tengah dan kanan Harimau Malaya, Dion-Johan Cools sah tiba di Chiang Mai, Thailand untuk menyertai pasukan menjelang Piala Raja Thailand Ke-48, 2022 yang bermula  di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Khamis ini.

Pemain kelab Czech, FK Jablonec itu mendapat pengecualian khas untuk terus terbang ke Chiang Mai tanpa perlu memasuki kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor yang dibuka 16 September lalu.

Cools, 26, juga ialah antara tiga pemain yang dilantik oleh Pan-gon, warga Korea Selatan, sebagai kapten negara di samping sayap kanan, Safawi Rasid dan penyerang, Syafiq Ahmad.

Skuad 24 pemain di bawah kendalian Kim Pan-gon berlepas ke sana semalam bagi menghadapi perlawanan sulung mereka iaitu menentang tuan rumah pada pukul 9.30 malam, Khamis ini.

DION-Johan Cools (tiga dari kiri) gigih berlatih dengan rakan sepasukan negara. – Foto FAM

Hanya Shahrul Saad yang terpaksa diketepikan daripada skuad negara ke Piala Raja Thailand kerana didapati kurang cergas dan sihat bagi perlawanan bertaraf antarabangsa pada 17 September lalu.

Harimau Malaya kemudian akan berdepan pemenang perlawanan terdahulu, Trinidad & Tobago dan Tajikistan pada Ahad ini bagi penentuan tempat ketiga atau final.

Piala Raja Thailand merupakan penampilan antarabangsa pertama skuad Pan-gon sejak layak ke pusingan akhir Piala Asia sebagai naib juara Kumpulan C kelayakan pusingan ketiga di Bukit Jalil, Jun lalu.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) ini juga menjadi medan pemanas badan Harimau Malaya menjelang Piala AFF dari 21 Disember ini hingga 17 Januari 2023 selain Piala Asia 2023, Jun depan. — BebasNews

PARA pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Kem Latihan Alpine Football, Chiang Mai, hari ini. – Foto FAM

Leave a Reply