ZAKI Sadri, legenda lompat kijang dan jauh olahraga negara serta ketua jurulatih Sukma Terengganu. – Foto ZS

ZAKI Sadri sepatutnya tahu dan dakwaan Vasu Subramaniam terbukti tidak benar!

Majlis Sukan Negara (MSN) menangkis dakwaan dua bekas atlet olahraga kebangsaan ini kononnya penjadualan acara tidak merujuk pihak berpengalaman dan ada atlet yang terpaksa berlumba jalan kaki sehingga ‘5.4 kilometer’.

“Penganjur Sukma MSN Ke-20, 2022 ingin memaklumkan, semua jadual acara sukan olahraga diputuskan secara bersama-sama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan menuruti amalan standard jadual olahraga dalam pelbagai peringkat pertandingan.

“Jadual acara-acara itu telah dimaklumkan lebih awal kepada setiap pasukan yang mempunyai masa mencukupi untuk menyusun penyertaan atlet masing-masing, mengambil kira faktor prestasi serta jarak masa rehat atlet antara acara-acara yang dilangsungkan,” lapor siaran media MSN, hari ini.

Siaran berkenaan bertujuan memperbetulkan dakwaan Zaki yang juga ketua jurulatih olahraga Terengganu berhubung penjadualan itu dan Vasu yang menyalahkan pegawai pertandingan sehingga atlet terpaksa menghabiskan jarak tambahan 400 meter bagi acara 5km jalan kaki wanita itu.

Zaki dan Vasu masing-masing pernah mengalungi Malaysia pingat emas lompat kijang dan lumba jalan kaki dalam beberapa Sukan SEA era 80-an dan 90-an.

VASU Subramaniam, legenda jalan kaki olahraga negara dan jurulatih Sukma Kuala Lumpur. – Foto Yakeb

“Masalah kecederaan yang dilaporkan berkemungkinan berpunca daripada segelintir negeri yang menyenaraikan seseorang atlet dalam banyak acara tanpa mengambil kira tempoh rehat mencukupi buat mereka.

“Sebagai jurulatih berpengalaman, Zaki juga seharusnya tahu bahawa dalam temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, acara-acara olahraga juga dilangsungkan dalam sesi pagi selain petang dan malam,” lapor siaran itu.

Penganjur menegaskan dalam siaran tersebut, rungutan Vasu sudah disiasat dan dibuktikan tidak benar malah jurulatih jalan kaki Kuala Lumpur itu dan pasukannya, tidak pernah mengemukakan bantahan rasmi dan bukti-bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

“Penganjur menyeru mana-mana jurulatih dan pegawai pasukan yang mahu membangkitkan sebarang isu, merujuk kepada pengurusan kontinjen masing-masing terlebih dulu yang sentiasa mendapat maklumat terkini dan terperinci,” tambah siaran berkenaan. — BebasNews

Leave a Reply