SUASANA ceria ratusan penumpang tren My Sawadee apabila tiba di stesen Hatyai, Thailand minggu lalu. - Ihsan Bangkok Post

Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Susulan sambutan cukup hebat warga Lembah Klang terhadap tren khas My Sawadee, Keretapi Tanah Melayu (KTMB) membayangkan perkhidmatan itu akan ada lagi.

Menerusi hantaran dalam laman sosialnya, operator rel nasional tersebut juga merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan amat luar biasa daripada penumpang perkhidmatan itu.

“Semoga kita berjumpa lagi untuk perjalanan tren khas KTMB yang seterusnya. Khob khun mark krab. Terima kasih,” nukil pentadbir akaun itu dengan ada diselit tanda emoji gembira.

Perkhidmatan My Sawadee itu diperkenalkan pada Khamis minggu lalu bersempena cuti hujung minggu yang panjang ekoran sambutan Hari Malaysia 2022 pada 16 September lalu.

Tren 12 gerabak itu berlepas dari Stesen KL Sentral di ibu negara pada pukul 10.10 malam dan selamat tiba di Stesen Hatyai, Wilayah Songkhla di selatan Thailand keesokan paginya.

Selain menawarkan sejumlah 240 tempat duduk dalam koc jenis Superior, pihak KTMB turut menyediakan beberapa gerabak mengandungi 120 katil dalam koc jenis Superior Sleeper.

Tambang perjalanan sehala di gerabak tersebut masing-masing ialah RM89 untuk katil atas dan RM97 untuk katil bawah dengan semua caj tiket tidak termasuk makanan atau minuman.

KTMB turut memaklumkan bahawa harga tambang perkhidmatan tren berkenaan adalah sama diseragamkan dewasa sahaja dengan tiada tiket khas jenis konsesi atau kanak-kanak.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Songkhla, Sittipong Pattaraphapa cukup gembira sambutan luar dugaan warga Malaysia menaiki tren tersebut untuk ke bandar berkenaan.

“Kami amat berharap agar perkhidmatan sebegini diteruskan lagi oleh KTMB kerana ini bakal melonjakkan lagi ekonomi wilayah di sini,” katanya dipetik akhbar tempatan, Bangkok Post.

Beliau bahkan menambah, tren My Sawadee boleh dijadikan mod pengangkutan alternatif ke Hatyai kerana sistem rel tersebut lebih jimat masa dan harga tiket dijual juga berpatutan.

Apatah lagi ujarnya, penumpang dari Lembah Klang tidak perlu menukar tren lain di Stesen Padang Besar, Perlis yang dikendalikan oleh State Railways of Thailand untuk ke Hatyai.

Perkhidmatan ‘shuttle’ setiap hari dengan tambang sehala RM6 atau 50 baht itu dilancarkan semula pada 15 Julai lalu setelah digantung dua tahun susulan isu penutupan sempadan.

Justeru, Sittipong memohon sangat pihak KTMB dapat menjadikan tren khas My Sawadee sebagai perkhidmatan tetap bagi merancakkan balik sektor pelancongan di selatan Thailand. — BebasNews

Leave a Reply