KEBELAKANGAN ini terdapat banyak iklan promosi pelaburan di media sosial oleh pelbagai pihak atau syarikat yang mendakwa pelaburan mereka bukan sahaja berteraskan syariah tetapi juga menjanjikan pulangan lumayan pada kadar segera.
Barangkali untuk meyakinkan orang ramai untuk menarik mereka menjadi pelabur, syarikat-syarikat ini menggunakan ustaz atau tokoh agama sebagai jurucakap atau promoter. Ini selain daripada artis-artis atau personaliti popular.
Pulangan yang dijanjikan memang lumayan dan memang mudah memikat hati. Masakan tidak, misalnya dengan pelaburan RM500, dalam tempuh seminggu akan memperoleh pulangan RM7,000. Berkali-kali ganda untungnya. Lagi banyak wang dilabur, lagi banyak pulangan yang akan diperoleh.
Berdasarkan maklum balas dalam ruangan komen media sosial, ramai juga yang berminat dan meminta diberi penerangan lanjut. Tetapi tidak tahulah samaada akhirnya mereka melabur atau tidak. Namun tidak kurang juga yang mempertikai kesahihan pelaburan berkenaan dan menyifatkannya sebagai memperdaya atau scam sahaja. Menurut mereka, “dengar boleh, percaya jangan!”
Malah Bank Negara juga telah mengeluarkan notis peringatan supaya berwaspada dengan beberapa penganjur skim pelaburan ini. Jika peringatan seperti ini dikeluarkan tentulah pihak Bank Negara mengesan wujud unsur meragukan dalam operasi syarikat pelaburan tersebut.
Penulis pun tertanya-tanya kenapa terlalu banyak syarikat pelaburan muncul mendadak secara online mempromosikan operasi melalui media sosial. Adakah mereka ini memang dibenarkan mengiklan sesuka hati? Tidak perlukah mendapat kebenaran pihak berkuasa?
Bagi penulis, secara logiknya, sukar mempercayai boleh mendapat pulangan pelaburan yang begitu banyak dalam waktu yang singkat. Jika pelaburan RM500 memperoleh RM7,000 dalam seminggu bermakna 14 kali ganda untung. Ertinya RM1,000 diraih setiap hari! Mudah sangat.
Bank-bank atau institusi kewangan atau pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputra pun tidak mampu memberi pulangan sebanyak ini. Malah pulangan dikira untuk tiap setahun, bukan mingguan! Peratus agihan pendapatan lebih berpijak di bumi nyata, tidaklah sampai mencecah berganda-ganda seperti pelaburan di media sosial ini.
Memang mengujakan tawaran pulangan pelaburan yang diberi. Penulis percaya ramai tertarik dengan kempen pelaburan yang boleh menjadikan mereka ‘orang kaya segera’, apatah lagi dengan kehadiran ustaz sebagai promoter.
Dengan kehadiran tokoh agama ini, bakal pelabur berasa yakin pelaburan yang ditawar benar-benar berteras syariah dan memberi pulangan seperti dijanjikan. Dalam minda mungkin tersemat masakan ustaz bercakap benda tidak betul.
Juga bagi golongan yang memuja artis-artis tertentu, dan mereka pula muncul menjadi promoter, tentu akan mampu menarik peminat. Jika tidak semua peminat, mungkin sebahagian besar akan mencuba nasib melabur.
Penulis sendiri pernah menerima pesanan ringkas daripada sebuah syarikat pelaburan yang menawarkan kepada penulis menyertai skim mereka. Tidaklah diketahui di mana syarikat itu memperoleh nombor telefon penulis. Untuk meyakinkan penulis, syarikat itu menyertakan video testimoni daripada dua tiga orang pelabur yang kononnya sudah menuai hasil daripada pelaburan.
Namun penulis perasan video tersebut nampak sengaja dibuat. Penampilan individu tidak meyakinkan. Tutur kata tidak lancar dan kelihatan seperti membaca skrip disediakan. Penulis tidak layan dan terus memadam mesej dan video berkenaan.
Orang lama tentu masih ingat dengan skim cepat kaya ‘labu peram’ beberapa dekad lalu. Tawaran pulangan yang tinggi menyebabkan orang ramai berpusu-pusu menyertai skim tersebut sedangkan mengutip deposit tanpa lesen atau kebenaran khas adalah salah di sisi undang-undang.
Memang benar pada peringkat awal pelabur memperoleh keuntungan tinggi. Ini terjadi kerana kutipan yang banyak itu digunakan sebagai wang pusingan diagih kepada pelabur. Yang melabur awal memperoleh agihan melalui wang pelabur yang kemudian.
Lama kelamaan wang pelaburan tidak cukup untuk memenuhi bayaran agihan yang semakin tinggi disebabkan pelabur makin bertambah. Akibatnya, ramai pelabur tidak memperoleh bahagian. Pihak berkuasa pula bertindak terhadap penganjur skim kerana beroperasi tanpa lesen. Akhirnya skim cepat kaya berkubur. Ramai pelabur putih mata.
Untuk mengelakkan kejadian seperti berlaku, mereka yang berhasrat membuat pelaburan berdasar promosi di media sosial, perlulah berhati-hati dan membuat pertimbangan dengan teliti serta rasional.
Jika ada sesiapa yang hendak mencuba juga melabur, terpulang pada diri sendiri. Cuma fikir dengan teliti sebelum berpisah dengan wang dalam tangan. Mungkin wang itu boleh kembali dengan membawa bersamanya untung. Namun tidak mustahil ia akan hangus begitu sahaja.
— BebasNews

PERNAH berkhidmat 33 tahun di Utusan Melayu mulai 1980 hingga 2013 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Ketua Pengarang.
Memegang pelbagai jawatan ketika bertugas termasuk Pengarang Mingguan Malaysia dan Ketua Biro Alor Setar.
Berkelulusan Diploma Sebaran Am ITM 1979 dan Sarjana Kewartawanan Universiti Boston 1984.