MELAKA United FC kendalian Mohd. Asri Ninggal terpaksa melupakan Piala Malaysia 2022. Mereka juga kini di anak tangga kelapan Liga Super. – Foto MUFC 

TIADA Melaka United FC dalam saingan 16 pasukan Piala Malaysia 2022 gara-gara keculasan kelab itu dalam melunaskan tunggakan gaji para pemain dan pegawai-pegawainya.

Hukuman itu diputuskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada mesyuarat Lembaga Pengarahnya setelah kelab tersebut masih gagal menyelesaikannya seperti tarikh yang ditetapkan.

“Melaka United FC telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga semalam.

“Walau bagaimanapun pada hari ini, kelab itu hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun lalu.

“Maka atas sebab itu, MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United FC bertanding dalam Piala Malaysia musim ini,” lapor MFL dalam kenyataan rasminya, hari ini.

Piala Malaysia 2022 menampilkan saingan 11 daripada 12 pasukan Liga Super 2022 dan lima terbaik Liga Perdana 2022 (kecuali pasukan pengumpan atau simpanan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II, Terengganu FC II dan Selangor FC 2).

Mereka yang layak ke Piala Malaysia ialah juara bertahan Kuala Lumpur City FC, JDT FC, Sabah FC, Terengganu FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, Petaling Jaya City FC, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC.

Layak daripada Liga Perdana termasuk Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC dan Polis Diraja Malaysia FC serta Universiti Teknologi Mara (UiTM FC).

Kini timbul persoalan sama ada Penang FC, pasukan corot Liga Super perlu berentap dalam play-off bagi slot Piala Malaysia tinggalan Melaka United FC itu dengan Perak FC yang terhampir daripada Liga Perdana.

MFL menurut laman itu, juga mengingatkan Melaka United FC agar menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023 pula.

PIALA MALAYSIA

MFL akan membuat pengumuman dalam masa terdekat berhubung pasukan pengganti Melaka United FC dalam Piala Malaysia itu.

Sementara itu, Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan lalu.

“Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga Julai lalu. Walau bagaimanapun Sarawak United FC dan pegawai pasukan, mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan lalu.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan ini, MFL tetap memberi peringatan agar isu seumpama ini tidak berulang yang boleh memberi kesan kepada lesen bertanding mereka dalam Liga Malaysia 2023,” lapor laman itu.

MELAKA United (jersi hitam hijau) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia 2022 gara-gara tunggakan gaji pemain dan pegawai. – Foto MUFC

Leave a Reply