Oleh Ani Awang

PARIT BUNTAR — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua buah bot kenka di kedudukan 0.26 batu nautika barat daya Kuala Gula, Perak pada jam 12.00 tengahari, semalam kerana melanggar syarat lesen.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin bot pasukan peronda telah mengesan dua buah bot terbabit sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan
dipintas untuk pemeriksaan.

Katanya hasil pemeriksaan kedua-dua bot terbabit menemukan empat kru warga tempatan termasuk tekong berumur antara 31 hingga 62 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati kedua-dua buah bot terbabit mempunyai lesen yang sah namun pemilik telah melanggar syarat lesen dengan tidak
mengusahakan sendiri bot tersebut.

“Sebanyak 100 kilogram ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Najhan berkata kesemua kru nelayan, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan baja di bawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Katanya Maritim Malaysia sentiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut dan sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat
Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919. — BebasNews

Leave a Reply