Ahmad Khusairi Yahaya

KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan, firma setiausaha syarikat, guaman dan pengedar logam berharga serta batu dikenal pasti antara sektor yang terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram.

Kajian itu diperoleh berdasarkan Penilaian Risiko Nasional (NRA) 2020 oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dalam melaksanakan penilaian sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, dalam hal berkenaan, pegawai pematuhan dari sektor terlibat harus lebih peka dan berhati-hati terhadap risiko perniagaan mereka yang boleh disalahgunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram.

“Jika tidak dikawal, aktiviti tersebut membolehkan penjenayah mendapat manfaat hasil daripada jenayah mereka dan secara tidak langsung semakin berkembang.

“Semua pihak berkepentingan, tidak kira dari sektor awam mahupun swasta perlu bertanggungjawab dan sedar bahawa pengesanan, pencegahan serta penguatkuasaan yang berkesan adalah aspek penting dalam usaha keseluruhan untuk memerangi jenayah rasuah.

“Aktiviti pengubahan wang haram ini akan memberi kesan yang sangat serius kepada integriti sistem kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan sesi Dialog Mengkaji Hubungan Antara Rasuah dan Jenayah Berisiko Tinggi yang dikenal pasti dalam NRA di Lanai Kijang hari ini.

Sesi dialog tersebut kali pertama dianjurkan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM bersama Bank Negara Malaysia (BNM).

Turut hadir, Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar.

Jelas Ahmad Khusairi lagi, dalam laporan NRA 2020 juga mengenal pasti lima jenayah utama yang menyumbang kepada ancaman aktiviti pengubahan wang haram kepada negara ini.

Katanya lagi, antara jenayah itu ialah penipuan termasuk penipuan dalam skim pelaburan haram, pengedaran dadah terlarang, rasuah, penyeludupan termasuk pengelakkan kastam dan duti eksais dan jenayah terancang.

“Selain itu, terdapat juga peningkatan risiko untuk dua jenayah iaitu melibatkan jenayah alam sekitar akibat pemerdagangan hidupan liar, perlombongan haram serta pengimportan sisa plastik haram.

“Dalam pada itu, terdapat juga jenayah peras ugut disebabkan peningkatan risiko yang berpunca daripada serangan siber termasuk serangan perisian tebusan,” ujarnya.

— BebasNews

Leave a Reply