BRENDAN Gan (kiri), La’Vere Corbin-Ong, Faisal Halim dan Dion-Johan Cools sedia membantu Harimau Malaya ‘membaham’ Thailand atau digelar ‘Si Gajah Perang’, esok. – Foto FAM

KIM Pan-gon menjanjikan khalayak di Chiang Mai, sesuatu yang menarik dan berlainan daripada Harimau Malaya, Syafiq Ahmad pula hadir untuk mencapai sesuatu manakala Nazmi Faiz Mansor meletakkan sasaran – merangkul Piala Raja Thailand!

Ketiga-tiga ketua jurulatih, penyerang dan perantara skuad negara ini, merumuskan visi mereka menjelang pertembungan dengan tuan rumah dalam kejohanan edisi ke-48 ini di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai, malam esok.

“Anda mungkin tengok sesuatu yang menarik tentang kami. Kami mahu kekalkan mood baik. Ini kali pertama saya jumpa Thailand (sebagai ketua jurulatih Malaysia sejak 17 Februari lalu).

“Saya mahu lihat bagaimana pasukan dapat kekalkan prestasi sejak Jun lalu dan mahu yang lebih baik (selepas layak ke Piala Asia),” kata warga Korea Selatan ini dalam sidang media praperlawanan rakaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Nazmi menyifatkan kehadiran skuad 24 pemain ke Chiang Mai bukan bertujuan bersantai atau melancong tetapi dengan misi memenangi Piala Raja Thailand.

“Kami hendakkan kemenangan, hendakkan piala ini yang penting bagi pasukan kebangsaan,” kata pemain berusia 28 tahun ini.

Pan-gon juga katanya, mempunyai keistimewaan dalam penyusunan dan pertukaran pemain negara dengan setiap anggota pasukan perlu sentiasa bersedia jika dinamakan dalam kesebelasan utama.

“Dia ada idea tersendiri, kami tidak tahu apa idea yang terselit (kesebelasan utama). Dia juga ada keistimewaan dalam pertukaran pemain (jadi) semua orang perlu bersedia,” katanya.

NAZMI Faiz Mansor (tengah) gigih menjalani latihan di Kem Latihan Bola Sepak Alpine, Chiang Mai, Thailand dengan skuad negara. – Foto FAM

Syafiq, seorang daripada tiga kapten Harimau Malaya dalam Piala Raja Thailand ini, berkata: “Thailand sebuah pasukan yang bagus dan ada pemain yang teknikalnya bagus.

“Kejohanan ini akan tunjukkan sejauh mana kemampuan kami. Yang dalam Kelayakan Piala Asia sudah jadi sejarah, fokus kami kini mendapatkan momentum setiap perlawanan dan meraih lebih banyak pencapaian,” katanya.

Bek kanan dan tengah yang juga antara kapten Malaysia, Dion-Johan Cools pula menganggap, dia dan Pan-gon sudah memahami corak permainan yang dimahukan pada pasukan.

“Saya fikir dia mahu bawa pengalaman saya (liga Eropah) ke dalam pasukan. Kami ada hubungan baik dalam bola sepak dan dia mempercayai saya.

“Saya akan cuba bantu dan bimbing pasukan dari barisan belakang. Saya tidak fikir (harapan tinggi itu) akan membawa tekanan tambahan. Sudah menjadi tugas saya,” kata pemain kelab Czech, FK Jablonek ini.

KIM Pan-gon (kiri) dan Syafiq Ahmad pada sidang media praperlawanan dengan Thailand. – Foto FAM

Leave a Reply