Kakitangan LUAS sedang mengesan bau bahan asing di kawasan longkang yang mengalir ke Sungai Gong semalam.

SHAH ALAM — Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kira-kira pukul 8.30 malam semalam telah menemukan bau seakan diesel di kawasan Sg. Gong.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan, pensampelan LUAS menunjukkan bacaan 2 ton di kawasan berkenaan.

“Jarak lokasi pencemaran bau dikesan ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 20 km. Pihak Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd. (Air Selangor) telah siap siaga dengan pencegahan bagi sebarang kemungkinan di muka sauk.

“Siasatan LUAS dilakukan di sekitar kawasan yang mempunyai aliran masuk ke dalam sungai. Hasil siasatan menemukan beberapa lokasi aliran dengan bacaan bau sekitar 1 ton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, LUAS juga mendapati terdapat penemuan bau seakan diesel di kawasan hulu Sg.Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri.

Walau bagaimanapun katanya lagi, siasatan bersama Air Selangor juga mendapati terdapat sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai.

“Pensampelan di lokasi berkenaan dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa.

“LUAS mengambil tindakan pencegahan awal dengan meletakkan 1 unit oil boom di outlet Kolam Takungan Sg. Gong Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta 4 beg activated carbon, 4 unit ‘oil boom‘, dan 5 unit oil ‘pad‘ di saliran longkang stesen minyak berkenaan untuk memerangkap minyak dan nyah bau,” katanya.

Dalam masa yang sama ujarnya, LUAS juga telah siap siaga untuk melakukan pengepaman air daripada kolam – kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan ‘flushing’ untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan seterusnya nyah bau .

Beliau menambah,penggunaan teknologi ‘Bio remediation‘ bagi tujuan pemuliharaan juga diaplikasikan di kawasan – kawasan yang terjejas.

“LUAS telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa – apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

“LUAS juga memantau rapi kawasan terlibat melalui pensampelan bau di Stesen Statik di Jambatan Glomac untuk mengesan perubahan bau di dalam Sg. Gong. Berdasarkan rekod , sehingga kini tiada henti tugas LRA dilaporkan oleh pihak Air Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana – mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS katanya lagi, menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera. –BebasNews

Leave a Reply