DUTA Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim (tengah) bersama mangsa di Phnom Penh sebelum balik ke tanah air semalam. - Ihsan Wisma Putra
Oleh A. AMRI

PUTRAJAYA — Kes penipuan sindiket tawaran pekerjaan palsu di Kemboja didalangi sendiri oleh warga Malaysia malah langsung tidak pun melibatkan rakyat asing dari negara yang lain.

Perkara itu didedahkan oleh Duta Besar Malaysia ke negara tersebut, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim sebagai mengulas kenapa isu jenayah berkenaan seperti gagal dikawal habis.

“Hasil soal siasat perisikan polis, yang menjadi dalang itu pun orang kita juga dan bukannya warga China sebagaimana tanggapan ramai sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada 9 September lalu, beliau mengiringi 24 rakyat negara ini yang menjadi mangsa jenayah skim tawaran pekerjaan palsu itu balik ke tanah air bersama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Setakat ini, terdapat baki 29 lagi warga Malaysia ditahan di depoh imigresen Kemboja susulan operasi pengesanan secara besar-besaran oleh pihak kerajaan negara itu sejak bulan lepas.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sehingga kini mengesahkan sejumlah 148 rakyat negara ini menjadi mangsa tersebut berdasarkan laporan yang diterima daripada waris mereka.

Kemboja mencatatkan bilangan paling tinggi kes warga Malaysia ‘terkandas’ akibat ditipu sindiket jenayah tersebut namun seramai 118 orang daripada mereka sudah pun berjaya dikesan.

Mengulas lanjut, Eldeen Husaini berkata, sindiket itu amat licik menyembunyi identiti mangsa dengan membakar pasport mereka agar sukar dikenal pasti apabila ditahan pihak berkuasa.

“Paling susah apabila ada mangsa tidak tahu cakap Melayu atau Inggeris tetapi pihak kedutaan mujur ada penterjemah bahasa Mandarin ketika proses soal siasat,” jelasnya agak kesal.

Langkah itu juga ujarnya, memastikan hanya rakyat negara ini diselamatkan kerana banyak kes sebelum ini warga asing yang menyamar kerana wajah seperti muka penduduk Malaysia.

Bagaimanapun, hasil tinjauan pihak kedutaan mendapati, kebajikan mangsa di depoh adalah baik, bahkan setakat ini hanya Malaysia tampil menyantuni nasib tahanan rakyat negara ini.

Sebaliknya, ribuan mangsa penipuan dari negara lain dibiarkan tanpa dipedulikan pun oleh pihak kedutaan mereka atas alasan kononnya tiada dokumen pengenalan diri sebagai bukti.

Paling menyedihkan beliau, mangsa ditemui itu sebenarnya ‘dibuang’ sindiket kerana gagal mencapai sasaran jualan ditetapkan dan ada dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan sakit.

Eldeen Husaini menambah, terdapat juga mangsa dari kalangan individu lembam yang jelas terpinga-pinga tidak tahu apa-apa pun ketika disiasat termasuk maklumat diri mereka sendiri.

“Mereka datang ke Kemboja kerana terpedaya tawaran iklan kerja dengan gaji lumayan tetapi dipaksa pula jadi penipu atas talian dan ada diseksa sebelum dicampak ke jalanan,” katanya.

Pada masa sama ujar beliau, ada mangsa malu enggan balik ke Malaysia kerana masalah peribadi keluarga atau anak tunggal kematian ibu bapa yang tiada saudara mara di tanah air.

Justeru, beliau mengingatkan individu yang mungkin berhasrat mencari kerja di Kemboja agar memaklumkan ahli keluarga, saudara atau rakan untuk mudah dihubungi ketika kecemasan.

Mereka juga dinasihatkan merakamkan gambar butiran pasport, kad pengenalan atau tiket kapal terbang sebagai sokongan jika dokumen itu hilang dan senang dijejak oleh pihak kedutaan. — BebasNews

Leave a Reply