RAMELI Junit membantu Selangor bergelar juara Piala Malaysia 1978 dan 1979, Melaka juara liga Piala Malaysia 1983 dan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. – Foto BUFC

PIALA MALAYSIA

LEGENDA bola sepak Melaka, Selangor dan Malaysia 70-an dan 80-an, Rameli Junit menggesa penyertaan Piala Malaysia diwajibkan kepada pasukan-pasukan yang berasaskan negeri sahaja demi tradisi dan prestij pertandingan kebangsaan yang sudah berusia 101 tahun itu.

Katanya, kini sudah dua negeri yang kerugian bakat untuk dicungkil dan diketengahkan ke peringkat tertinggi kebangsaan seperti Melaka United FC yang dilarang menyertai Piala Malaysia, semalam dan Perlis yang digantung pada 2019 – kedua-duanya gara-gara tunggakan gaji pemain.

“Sepatutnya Piala Malaysia ini, pasukan negeri-negeri sahaja yang main (seperti era awal pertandingannya).

“Malah sepatutnya apabila diswastakan, bola sepak kita semakin bagus, ini jadi sebaliknya pula, makin teruk.

“Ada negeri tertentu itu sudah sampai dua kelabnya pula boleh main Piala Malaysia (Sarawak United FC dan Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC). Kalau kelab-kelab ini, kejap ada, kejap tiada.

“Saya sedih dan anggap satu kerugian apabila Melaka United FC tidak dapat masuk Piala Malaysia kerana larangan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia). Dulu Perlis bekas juara Piala Malaysia (2004 dan 2006), digantung, sekarang Melaka tak boleh main.

“Piala Malaysia ini piala yang berprestij. Sekarang, pemain-pemain (Melaka United FC) hendak ke mana?,” kata bekas penyerang yang membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 walaupun kerajaan kemudian mengarahkannya diboikot.

RAMELI Junit (berdiri, kiri) bersama-sama skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 kendalian Karl-Heinz Weigang (berdiri, kanan).

Rameli, 67, menyarung jersi Melaka sebagai anggota juara skuad liga 1983 bahkan membantu Selangor menjulang Piala Malaysia pada 1978 selepas menewaskan Singapura 4-2.

Anak jati Linggi, Negeri Sembilan ini menjaringkan dua gol final di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu selain Datuk Soh Chin Aun dan John Engkatesu malah mengulangi kejayaan pada 1979, juga dengan menjinakkan Singapura 2-0.

Semalam, MFL mengumumkan Melaka United FC tidak dibenarkan menyertai saingan 16 pasukan Piala Malaysia 2022 yang dijangka akhir Oktober ini gara-gara gagal melunaskan tunggakan gaji para pemain dan pegawai-pegawainya selepas Jun lalu.

Melaka United FC juga diberi peringatan tambahan agar menyelesaikan tunggakan itu dengan segera kerana kegagalannya, mampu menggugat penyertaannya dalam Liga Malaysia 2023 pula.

RAMELI Junit (barisan tengah, dua dari kiri) menganggotai skuad Melaka juara liga Piala Malaysia 1983 bersama-sama Soh Chin Aun (barisan tengah, kiri). – Foto FB ASMT

Kata Rameli, FC (kelab bola sepak) juga wajar menempatkan beberapa pegawai kanan Persatuan Bola Sepak (FA) negeri yang berkaliber dalam struktur pentadbirannya bagi mengelakkan masalah seperti tunggakan gaji.

“Individu atau syarikat yang mengambil alih pengurusan pasukan utama negeri ini, masih baharu dan memerlukan bantuan dan bimbingan orang-orang yang lebih berpengalaman dalam FA.

“Gandingan kedua-dua pihak berkepentingan bola sepak ini perlu ada.

“Ayuhlah duduk berunding, carilah jalan dan atasi cepat masalah yang menimpa bola sepak Melaka ini,” katanya.

KENYATAAN media Melaka United FC dalam Facebook rasminya, hari ini berhubung larangan MFL menyertai Piala Malaysia 2022. – Foto MUFC

Leave a Reply