SHAH ALAM, 22 Sept. — Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Justeru titah baginda, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

Sambil menyifatkan rasuah penyakit bersifat barah, ia menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, ia akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

Dalam hubungan ini baginda menarik perhatian, daripada 180 buah negara yang dinilai oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021 dan kini dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

Baginda bertitah demikian semasa melancarkan buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ terbitan EMIR Research di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Ini kerana menurut baginda, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

Titah baginda, aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diwarwarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, banyak negara yang dianugerahi pelbagai sumber kekayaan tertimbus dalam lumpur kemiskinan dan kemunduran disebabkan hasil mahsul negara lesap dan disalahgunakan akibat perbuatan rasuah.

Titah baginda rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

“Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bagaimana imbuhan berbentuk kuasa dan kekayaan menyebabkan lebih ramai manusia disesatkan.

“Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan,” titah baginda.

Teks penuh titah Sultan Nazrin —

18) 22.9.2022-Sultan Perak-EMBARGO-MAJLIS PELANCARAN BUKU “KORUPSI DAN KEMUNAFIKAN DALAM POLITIK MELAYU”

— BebasNews

Leave a Reply