AHMAD Zahid Hamidi melambaikan tangan kepada wakil-wakil media setibanya di pekarangan Mahkamah Tinggi, Shah Alam. – Foto FB AZH

MANTAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskannya daripada 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), membuktikan kebenaran telah terserlah.

Katanya, pimpinan UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan ketika lawan politik berkuasa, tidak pernah takut dengan sebarang tindakan kerana berpegang kepada prinsip, “beranilah kerana benar.”

Presiden UMNO itu menegaskan, “keputusan mahkamah ini akan menjadi penguat semangat untuk saya terus memperjuangkan segenap kebenaran yang perlu diangkat walau apa cabaran mendatang.”

Zahid mengulas keputusan berkenaan dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

“Syukur ke hadrat Ilahi atas keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan saya daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadap saya semasa kerajaan 22 bulan berkuasa (Pakatan Harapan).

“Berkat doa semua pihak akhirnya hakim telah melepaskan dan membebaskan saya daripada 40 tuduhan rasuah VLN,” katanya.

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama-sama para pemimpin kanan UMNO dan ahli keluarganya (kiri). – Foto FB AZH

Ahli Parliman Bagan Datuk, Perak mengakui beliau mulanya telah yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.

“Saksikan kami (UMNO) tidak pernah lari sebaliknya berjuang untuk membersihkan nama kerana percaya kebenaran akan terserlah jua sekiranya perbicaraan dapat dilangsungkan secara telus dan saksama.

“Terima kasih pasukan guaman bertungkus lumus dan tidak pernah berputus asa mendapatkan keadilan buat diri saya. Terima kasih juga semua yang mendoakan sepanjang perbicaraan ini,” katanya.

Terima kasih kepada semua sahabat yang datang dan sentiasa ada memberikan sokongan selama ini, tambahnya. — BebasNews

Leave a Reply