AKSI mencemaskan gawang Malaysia yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (jersi kelabu) akibat asakan Thailand. 

KOMITMEN, semangat juang dan keyakinan membolehkan Harimau Malaya mengatasi situasi tekanan Thailand dalam babak kedua sebelum memenangi penentuan sepakan penalti 5-3 dalam Piala Raja Thailand Ke-48, semalam.

Kehadiran kira-kira 17,000 penyokong Si Gajah Perang di Stadium Ulang Tahun Ke-700 Chiang Mai, Thailand juga diakui menambah tekanan mental dan fizikal terhadap anak-anak buah Kim Pan-gon.

Ketua jurulatih negara ini berkata, “persembahan Harimau Malaya hebat. Terima kasih kepada mereka yang membanggakan saya. Ramai penonton juga di sini dan kami tertekan segi mental dan fizikal.

“Akhirnya kami dapat hasil yang baik. Harimau Malaya sepanjang masa menunjukkan komitmen, semangat juang dan keyakinan sehingga mereka dapat mengatasi situasi ini.

“Saya mempercayai sepenuhnya pemain-pemain, mereka telah jalankan tugas dengan hebat. Syabas kepada mereka,” kata warga Korea Selatan ini dalam rakaman audio sidang media kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

NOR Azam Azih (kanan) terlepas peluang bermain final, Ahad ini kerana dibuang padang ketika menentang Thailand, semalam. – Foto FAM

Kejayaan ini melayakkan skuad negara yang di ranking ke-148 dunia, ke perlawanan akhir menentang Tajikistan (ke-109), Ahad ini yang mengejutkan lawan dari Carribean (ke-101), Trinidad & Tobago 2-1, petang semalam.

Harimau Malaya diikat 1-1 oleh Si Gajah Perang selepas 90 minit permainan masa sebenar namun tiada masa tambahan dalam format kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) ini sebaliknya diteruskan dengan penentuan penalti.

Bek kiri, La’Vere Corbin-Ong meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-32 dengan terjahan yang menyudahi sepakan lambung Safawi Rasid namun Pansa Hemviboon menyamakannya menerusi tandukan, lima minit masa kecederaan babak kedua.

Tepisan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed terhadap sepakan keempat penalti penentuan Thailand oleh Supachok Surachat sebelum disahkan Corbin, membawa Malaysia ke final Piala Raja Thailand yang keenam selepas 1972, 1973, 1976, 1977 dan 1978.

Pan-gon turut menjangkakan perlawanan dapat diakhiri dalam masa sebenar walaupun keputusan 1-1 yang telah berlaku malah diakuinya, banyak kali pernah dilaluinya dalam karier bola sepaknya di Korea Selatan.

KIM Pan-gon (kiri) bersama-sama penolong ketua jurulatih negara, E. Elavarasan. – Foto FAM

Corbin berkata, “semula jadinya, semua orang gembira dengan jaringan saya (tetapi) ini kerja keras sepasukan. Gol saya memang menurut apa yang dirancang dengan Safawi (dalam sesi latihan)

“Kami pemain profesional perlu tahu untuk menyerap tekanan itu (penentuan penalti) dan tunjukkan perwatakan (untuk menang),” katanya.

PERSAINGAN bola di udara antara Brendan Gan (dua dari kiri) dan Supachai Chaided (9) sambil dipantau Dion-Johan Cools (kiri) dan Ahmad Khuzaimi Piee. – Foto FAM

Leave a Reply