Filem Sayap-Sayap Patah mendapat sambutan hangat di Indonesia.

SEJAK industri seni kembali rancak, setiap bulan ada saja konsert yang dianjurkan selepas dua tahun menyepi kerana pandemik Covid-19.

Penganjuran konsert yang telah atau bakal berlangsung di Malaysia kalau dilihat nampak tak seimbang kerana kebanyakan penganjur tempatan lebih berminat mengetengahkan artis luar berbanding lokal.

Nisbah konsert artis tempatan berbanding artis luar memang besar jaraknya tapi siapa kita untuk mempertikai penganjur yang membuat pelaburan besar itu.

Itulah nasib artis tempatan yang hanya mampu membuat konsert menggunakan Geran Dana Kandungan Digital (DKD) saja berbanding artis luar yang ada penganjur atau tajaan daripada jenama besar.

Roslina (kiri) bersama Nicholas dan Ariel ketika tayangan gala filem Sayap-Sayap Patah, di Indonesia, Ogos lalu.

Dari segi bisnes, semua orang mahu keuntungan dan selagi tidak melanggar apa-apa akta, prosedur ‘mempelawa’ atau membawa orang luar mengadakan konsert di Malaysia tidak salah. Lagipun di sini memang ramai peminat artis Indonesia ataupun K-Pop.

Dasar ‘pintu terbuka’ bukan saja untuk penggiat seni luar datang mengadakan persembahan di tanah air tercinta ini, malah warga negara tempatan juga amat bermurah hati.

Kata orang, seni itu tiada batasan kerana selera orang ramai tidak sama. Justeru itulah penerbit MoreADD Holding Berhad, Roslina Abd Majid berusaha membawa masuk filem Sayap-Sayap Patah dari Indonesia untuk tayangan di pawagam tempatan.

Faktor utama yang membuatkan Roslina selaku ahli perniagaan untuk membawa masuk filem arahan Rudi Soedjarwo ini kerana Sayap-Sayap Patah mendapat sambutan hangat di Indonesia.

Rapper Iwa K membawa watak pengganas dengan cemerlang dalam filem Sayap-Sayap Patah.

Sebaik ditayangkan di Indonesia sejak 18 Ogos lalu, filem genre drama tragis ini berjaya meraih sambutan hangat daripada lebih dua juta penonton di republik itu dengan kutipan tiket sekitar RM40 juta.

Sayap-Sayap Patah lakonan Nicholas Saputra, Ariel Tatum, rapper terkenal Indonesia Iwa K, Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan dan Revaldo itu mendapat sambutan hebat kerana keistimewaannya menggabungkan jalan cerita penuh dramatik bersama gandingan bintang ternama Indonesia.

“Kami sebagai pihak yang akan mengedarkan Sayap-Sayap Patah di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam cukup terharu dengan sambutan hebat penonton Indonesia terhadap filem ini.

“Malah sekumpulan media Malaysia yang turut diundang menonton Sayap- Sayap Patah di Jakarta pada 14 Ogos lalu turut mengakui filem ini sebuah karya terbaik dan cukup mengesankan.

Nicholas Saputra dan Ariel Tatum berlakon sebagai suami isteri dalam filem Sayap-Sayap Patah.

“Mengikut perancangan, MoreADD Holding akan menganjurkan Tayangan Gala Sayap-Sayap Patah di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober ini diikuti dengan tayangan umum di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam,” kata Roslina.

Ternyata Sayap-Sayap Patah yang berkisarkan tragedi berdarah yang berlaku di Lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018 apabila sekumpulan tahanan penggganas bangkit merusuh berjaya ‘menewaskan’ filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Filem Mat Kilau yang ditayangkan di 200 buah pawagam di Indonesia bermula 31 Ogos lalu itu terpaksa bertarung dengan Sayap-Sayap Patah dan ternyata ‘tewas’ kerana penonton lebih cintakan pahlawan tanah air mereka.

Ada penonton yang menyifatkan Sayap-Sayap Patah sebuah filem genre thriller, namun kelihatan romantis dan berakhir dengan penuh tragis. Malah ramai tokoh-tokoh terkenal memuji skripnya dan kualiti lakonan pelakonnya.

Filem arahan Rudi Soedjarwo ini diterbitkan oleh aktivis sosial Denny Siregar bersama Yoen K.

Antara yang menonton dan memuji filem ini ialah Ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Benny Rhamdani yang menganggap filem ini layak ditonton untuk sesiapa sahaja yang menyintai Indonesia.

Ternyata semangat juang dan cintakan negara antara rakyat Indonesia dan Malaysia berbeza, walaupun berdasarkan sebuah karya seni.

Orang Malaysia lebih suka mengagungkan karya luar berbanding produk tempatan, namun filem Mat Kilau berjaya mengumpul RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan di pawagam tanah air.

Dalam filem Sayap-Sayap Patah, Nicholas yang digilap bakat oleh Rudi Soedjarwo menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) kira-kira 20 tahun lalu, melakonkan watak Adji salah seorang anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel Tatum).

Sayap-Sayap Patah diterbitkan aktivis sosial media terkenal Denny Siregar bersama Yoen K.

Lagu Ku Tunggu Senyummu dendangan Ipang Lazuardi dipilih menjadi runut bunyi (OST) filem blockbuster ini. Ramai memuji skor muzik serta kesan bunyi untuk filem ini yang banyak membantu babak-babak sedih, ceria dan mendebarkan. — BebasNews

Leave a Reply