HARIMAU Malaya meraikan kejayaan mara ke final Piala Raja Thailand selepas menewaskan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 5-3. – Foto FAM

TERIMA kasih Ahmad Syihan Hazmi Mohamed! Andalah wira negara!

Tiga penyelamatannya dalam 90 minit masa sebenar dan satu pada penentuan sepakan penalti meloloskan Harimau Malaya ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand 2022, malam tadi.

Juga sekalung penghargaan kepada bek kiri, La’Vere Corbin-Ong dengan terjahan kaki kirinya yang menyudahi sepakan lambung kaki kiri, Safawi Rasid pada minit ke-32 untuk membawa Malaysia memimpin perlawanan sehingga minit ke-90+5.

Penjaga gol Negeri Sembilan FC itu menyekat rembatan satu lawan satu ketika berdepan Suphanat Mueanta pada minit ke-62 dan 70 serta tandukan jarak dekat oleh Supachai Caided, minit ke-76.

Syihan, 26, turut menepis sepakan penentuan penalti Supachok Surachat biarpun tertewas sebelumnya dengan Pathompon Charoenrattanapirom, Suphanat dan Kritsada Kaman.

AHMAD Syihan Hazmi Mohamed (16) penyelamat Harimau Malaya dengan empat tepisan, bersama-sama kesebelasan utama. – Foto FAM

Kerja keras pasukan kita untuk mempertahankan gol pendahuluan itu walau bagaimanapun direntap dengan tandukan gol penyamaan pemain Thailand, Pansa Hemviboon daripada sepakan bebas dalam minit akhir masa kecederaan.

Sepakan bebas sebelum itu diperoleh Gajah Perang (pasukan di ranking ke-111 dunia) daripada ‘pengorbanan’ perantara, Nor Azam Azih akibat dikenakan kad kuning kedua sekali gus dibuang padang.

Kemenangan penentuan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai, Thailand ini membawa skuad Kim Pan-gon menentang Tajikistan dalam perhitungan siapa juara kejohanan edisi ke-48, Ahad ini.

Kelima-lima pemain yang menyempurnakan penalti itu ialah kapten, Dion-Johan Cools, Syafiq Ahmad, Matthew Davies, Declan Lambert dan Corbin.

Malaysia, di ranking ke-148 dunia juga hampir dapat melebarkan kedudukan kepada 2-0 namun tandukan penyerang Darren Lok sempat ditepis penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul pada minit ke-61.

LA’VERE Corbin-Ong menerjah gol Malaysia dalam masa sebenar permainan dengan kaki kirinya. – Foto FAM

Tajikistan, pasukan dari Asia Tengah yang di ranking ke-109 terdahulu menewaskan lawan di ranking ke-101, Trinidad & Tobago 2-1 di stadium sama.

Tuan rumah dan lawan dari Carribean itu akan menentukan pemenang tempat ketiga, juga di stadium sama pada Ahad ini.

Malaysia pernah membawa pulang Piala Raja Thailand empat kali, pada 1972, 1976, 1977 dan 1978 manakala penampilan terakhirnya dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) ini ialah 1995.

MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Dion-Johan Cools, Ahmad Khuzaimi Piee (Declan Lambert), Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Nor Azam Azih, Brendan Gan, Arif Aiman Hanapi (Azam Azmi Murad), Faisal Halim (Akhyar Rashid), Safawi Rasid (Mohamadou Sumareh), Darren Lok (Syafiq Ahmad).

KIM Pan-gon mendepakan tangan sambil menjerit kegembiraan dengan kejayaan Harimau Malaya – kemenangan keenamnya daripada lapan perlawanan sejak menyandang ketua jurulatih negara pada 17 Februari lalu. – Foto FAM

Leave a Reply