Gambar individu yang dipercayai Jho Low dirakam dan tersebar di dunia maya.

KUALA LUMPUR — Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa ‘merayau-rayau’ di pusat beli-belah di Macau.

Pendedahan terbaru oleh wartawan yang juga penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale : The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World‘, Bradley Hope, itu sedikit sebanyak menguatkan teori bahawa Jho Low yang berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya itu kini masih berada di China.

Bradley bersama seorang lagi penulis buku terbabit, Tom Wright sebelum ini, turut mendedahkan Jho Low dikesan di Disneyland Shanghai berdasarkan maklumat didakwa diterima daripada sumber kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Bradley berkata keberadaan Jho Low di Macau itu berdasarkan maklumat dan beberapa foto diterimanya.

Jelasnya, foto dipercayai Jho Low dan beberapa pembantunya itu disalurkan penyiasat persendirian, memaparkan lelaki itu memakai baju berkolar warna jingga dan berseluar pendek, tetapi membelakangi kamera.

Bradley memberitahu, beliau turut ditunjukkan beberapa foto memaparkan imej Jho Low mendepani kamera, namun penyiasat persendirian berkenaan melarang beliau menggunakannya.

“Foto ini daripada penyiasat persendirian yang mengusahakan kes ini. Bagaimanapun, tidak jelas siapa mengupah penyiasat persendirian itu, sama ada mungkin kerajaan Malaysia atau perantara kerajaan Malaysia.

“Apa pun jelas sekali memang terdapat masa yang berbeza apabila Jho Low menjadi individu yang sangat dicari-cari susulan usaha untuk memperoleh semula wang (yang diseleweng daripada 1MDB),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian Youtube bersama Tom menerusi episod keempat program ‘Di Mana Jho Low’.

Bradley dalam ciapan di Twitter sebelum ini menyatakan Jho Low adalah kepingan terakhir ‘teka teki’ selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihantar ke penjara dan menggesa orang ramai berkongsi maklumat keberadaan ahli perniagaan itu Low menerusi emel [email protected]

Bradley menambah, selain imej Jho Low, turut kelihatan tiga individu disyaki pembantunya di pusat beli belah berkenaan, dengan seorang daripadanya perisik warga China yang menjaga protokol keselamatan Jho Low.

Dalam usaha menyebarkan maklumat mengenai Jho Low, Bradley menghasilkan beberapa poster dan satu daripadanya memaparkan wajah lelaki itu dalam bentuk karikatur dan tulisan Cina.

“Teori kami adalah orang China akan bersimpati dengan orang Malaysia mengenai seorang pelarian paling terkenal yang tinggal di China.

“Jadi kami memohon bantuan sambil berharap dapat meningkatkan lagi kefahaman mengenai siapa Jho Low di China, serta di mana dia berada .

“Projek ini bukan untuk memudahkan penahanan warganegara, tetapi untuk memperjelaskan bagaimana individu dalam buruan yang memiliki (wang curi) berbilion-bilion boleh tinggal di negara jiran dan hidup bebas,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diseleweng daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka. — BebasNews

Leave a Reply