friend, student, graduate
Photo by ptksgc on Pixabay Gambar hiasan

SEKOLAH khusus untuk wanita sudah ada, baik harian atau berasrama penuh. Koc tren khas untuk wanita pun sudah ada. Kini timbul cadangan mewujudkan universiti khusus untuk wanita pula.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, mengumumkan cadangan ini pada Program Libat Urus bersama-sama Duta Wanita Luar di Malaysia serta pemimpin wanita di Putrajaya baru-baru ini.

Perkara sama turut disentuh oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan. Menurutnya, idea penubuhan universiti ini dicetuskan oleh Wanita Barisan.

Menurut mantan Menteri Pengajian Tinggi dan mantan Menteri Besar Johor itu, penubuhan universiti wanita akan dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan menjadi salah satu bahan kempen. Khalid diberi tanggung jawab merangka manifesto Barisan Nasional.

Beliau membayangkan universiti wanita akan menjadi pusat penyelidikan berkaitan wanita dan pada masa sama akan secara aktif mempromosi kepimpinan wanita. Ia dianggap satu pendekatan inovatif menambah baik sistem pendidikan negara.

Nampaknya wujud usaha bersungguh-sungguh mahu merealisasikan universiti wanita. Tetapi soalnya perlukah? Adakah universiti awam (IPTA) yang sudah banyak wujud di negara ini masih tidak cukup? Universiti swasta (IPTS) juga sudah banyak. Kenapa perlu sebuah universiti khusus untuk kaum hawa?

Hendak dikatakan jumlah pelajar wanita belum mencapai tahap yang membanggakan, atau pencapaian kurang memberangsangkan, sehingga perlu sebuah universiti khusus juga tidak benar. Berdasarkan kenyataan Noraini sendiri, jumlah pelajar wanita menyerlah mengatasi pelajar lelaki di IPTA seluruh negara.

Ketika ini bilangan pelajar wanita atau mahasiswi di IPTA ialah 350,000 atau 61 peratus daripada jumlah pelajar, sementara lebih 530,000 atau 53 peratus pelajar wanita berada di IPTS.

Selain itu, terdapat 131,000 pelajar antarabangsa di negara ini. Menjelang tahun 2025 jumlahnya dijangka meningkat kepada 250,000 orang. Penambahan ini disasar melibatkan kemasukan lebih ramai pelajar wanita.

Jelas berdasarkan statistik, jumlah pelajar wanita di IPTA dan IPTS mengatasi pelajar lelaki dengan peratus agak tinggi. Bukankah ini menampakkan kecemerlangan wanita dalam akademik lebih terserlah berbanding pelajar lelaki?

Jika dalam persaingan kemasukan ke IPTA dan IPTS wanita lebih hebat bersaing dengan pelajar lelaki, apa perlunya sebuah universiti khusus untuk wanita sahaja?

Malah sebenarnya persaingan menuntut ilmu di universiti dalam persekitaran seperti sekarang adalah lebih baik serta mampu menanam semangat persaingan sihat di kalangan pelajar. Pelajar wanita mahu bersaing mengatasi pelajar lelaki dan sebaliknya.

Persekitaran bercampur juga mencambahkan pemikiran dan pertukaran fikiran yang lebih sihat dan matang di kalangan pelajar. Universiti khusus untuk wanita menyebabkan percampuran terhad, sedangkan interaksi adalah satu aspek penting dalam membina sahsiah diri dan kepimpinan.

Justeru cuba mengasingkan pelajar wanita di sebuah menara gading khusus boleh dianggap memecah belahkan pelajar lelaki dan perempuan. Aspek ini wajar diberi perhatian teliti sebelum  membuat keputusan.

Kaum wanita pun nampaknya tidak bersetuju dengan penubuhan universiti untuk mereka, seperti disuarakan oleh Pengarah Operasi, Jaringan Pemerkasaan Wanita, Junaida Hamid. Bagi beliau, sekiranya mahukan kepelbagaian dan menyeluruh, lebih baik ditubuhkan satu pusat kajian yang memfokus kepimpinan wanita dan diwakili oleh semua peringkat dalam universiti awam.

Beliau menekankan, banyak peluang sudah ada disediakan untuk wanita di negara ini, termasuk dalam aspek pendidikan. Cuma ia perlu dipertingkat dan dipromosi, tanpa perlu ada sebuah universiti wanita.

IPTA atau IPTS sedia ada berkemampuan menyelesaikan isu berkaitan wanita serta mempromosikan kepimpinan wanita. Ini terbukti dengan ramainya lulusan wanita daripada universiti awam atau swasta yang menjadi pemimpin politik, ahli perniagaan berjaya atau memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Jika mahu kedudukan ini dipertingkat, hanya perlu menambah baik aspek berkaitan wanita serta kepimpinan wanita di universiti. Ini lebih berkesan mencapai matlamat daripada menubuhkan universiti untuk wanita yang belum tentu membuahkan hasil diharapkan.

— BebasNews

Leave a Reply