BARISAN pemain Tajikistan berlari keriangan sebaik sahaja memenangi penentuan penalti 3-0 dalam perlawanan akhir King’s Cup 2022 sambil pemain-pemain Malaysia akur dalam kecewa. – Foto FAM

KIM Pan-gon (dua dari kiri) menyaksikan Harimau Malaya tewas penalti 3-0 dengan barisan jurulatih dan barisan simpanan di tepi padang. – Foto FAM

HARIMAU Malaya tidak sesekali menyasarkan penentuan sepakan penalti malah jika bukan kerana hujan, mampu bermain lebih baik dalam final Piala Raja Thailand (King’s Cup) menentang Tajikistan, semalam.

Sekalipun penentuan itu yang membantu kemenangan terhadap Thailand pada Khamis lalu, Kim Pan-gon menganggap kemungkinan untuk menang masih hanya setara dengan kalah.

“Dalam penentuan penalti, kami boleh menang dan kami boleh kalah. Kami tidak sasarkan penalti (seperti menewaskan tuan rumah 5-3 selepas terikat 1-1).

“Dengan kemampuan menyerang kami dan jika tidak hujan, permainan sepatutnya bertambah baik.

“Saya tidak menyesal. Kami sudah buat yang terbaik,” kata ketua jurulatih Malaysia ini dalam rakaman sidang media pascaperlawanan kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad Pan-gon kempunan trofi edisi ke-48, 2022 itu di Stadium Ulang Tahun Ke-700 Chiang Mai, Thailand apabila ditundukkan Tajikistan dengan penalti 3-0 selepas terikat 0-0 dalam 90 minit permainan masa sebenar.

PEMAIN-PEMAIN Malaysia (dari kiri), Rahadiazli Rahalim, Mukhairi Ajmal Mahadi, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Dominic Tan menerima cenderamata sebagai naib juara Piala Raja Thailand. – Foto FAM

Dalam penentuan penalti itu, sepakan bek tengah, Dion-Johan Cools dan perantara, Nazmi Faiz Mansor ditangkis oleh penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov yang kemudian hanya melihat palang gol menggantikan tugasnya, menyambut rembatan deras Safawi Rasid.

Warga Korea Selatan ini tetap menyifatkan anak-anak buahnya bertindak balas dengan bagus dalam segi kekuatan mental dan semangat sepasukan apatah lagi menyaingi lawan dari Asia Tengah yang di ranking dunia lebih tinggi.  

“Ya, kami memang menduga perlawanan ini akan amat getir. Lawan fizikalnya amat gagah dan di ranking ke-109 dunia.

“Saya sudah cakap dengan pemain-pemain bahawa ranking ke-148 kita ketika ini tidak menggambarkan prestasi mereka.

AKHYAR Rashid (19) kerap menggelecek solo ke kawasan lawan namun agak tamak untuk mengumpan rakan. Safawi Rasid (rebah) sempat membuat percubaan tepat tetapi ditepis penjaga gol Tajikistan. – Foto FAM

“Saya mahukan mereka buktikannya dan mampu saingi lawan di ranking kalangan 100, lebih tinggi.

“Kami (barisan jurulatih negara) selalu berharap pemain-pemain boleh bersaing lebih daripada yang realistik,” katanya.

Dia turut mempertahankan penampilan Brendan Gan dan Nazmi yang digandingkan sebagai perantara pusat ekoran ketiadaan Nor Azam Azih yang dibuang padang kerana kad kuning kedua pada minit akhir berdepan Thailand.

“Itu alasan taktikal dan kami perlukan seseorang yang gagah fizikalnya kerana Tajikistan ada kelebihan bahagian itu,” katanya sambil merujuk kemasukan Sharul Nazeem Zulpakar dalam babak kedua dan bukannya Mukhairi Ajmal Mahadi atau Zhafri Yahya. — BebasNews

BERGELAR naib juara Piala Raja Thailand 2022 mengulangi pencapaian kita pada 1973 selepas dikalahkan pasukan negara kelahiran Kim Pan-gon (gambar atas, kiri), Korea Selatan 2-1 dalam final. – Foto FAM

Leave a Reply