Selak Hassan Md NoorMUSUH atau kawan? Pas pilih UMNO atau Bersatu? Semua persoalan ini timbul apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ‘mengikat’ Pas supaya melupakan hasrat berbaik-baik dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Mungkin dilanda keresahan dengan beberapa tajuk berita termasuk “Pas beritahu UMNO, musuh dalam PRU15 adalah PH” atau “PH musuh Pas, bukannya UMNO” membuatkan Muhyiddin seolah-olah memberi kata dua kepada Pas.

Presiden Bersatu itu sekali lagi cuba ‘mematikan’ pergerakan Pas dengan mengingatkan sekutu PN bahawa BN musuh utama PN pada PRU-15.

Bersatu buat kali pertama berjaya ‘menjerat’ Pas masuk ke ‘perangkap’ PN sebagai satu gabungan walaupun ketika itu kemesraan Pas-UMNO semakin akrab melalui Muafakat Nasional (MN).

Kehadiran PN @ Bersatu sebagai orang ketiga mencetuskan bibit-bibit kehancuran MN yang pada awalnya pemuafakatan itu mampu menggerunkan musuh politik UMNO dan Pas iaitu Pakatan Harapan (PH).

Begitulah liciknya langkah Bersatu yang amat jelas matlamat utamanya untuk mematikan UMNO seterusnya menghapuskan Barisan Nasional (BN).

Tanpa Pas bersama PN, Bersatu tidak akan ke mana berbanding Pas bersama UMNO dalam MN yang mampu menjejaskan kedudukan PH apatah lagi jika PN hanya dianggotai Bersatu dan Gerakan di Semenanjung.

Beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang diharungi MN jelas menunjukkan gandingan UMNO dan Pas berjaya menundukkan calon-calon PH. Sebaliknya dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, gandingan Pas dan Bersatu membawa kehancuran.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir, Pas masih dikelirukan siapa yang sepatutnya menjadi pilihan atau gandingan. Dengan sikap pemimpin Bersatu, pilihan terbaik, adalah salah satu UMNO atau Bersatu.

Apakah kesudahan episod siapa musuh atau kawan ini? Jika diikuti cerita filem Keluarga 69, semuanya ‘berkahwin’ dalam lingkungan keluarga sendiri. Adakah akhirnya UMNO, Pas dan Bersatu juga bergasak sesama sendiri ?

Jika ini berlaku akhirnya keputusan adalah menang sorak kampung tergadai atau menang jadi arang kalah jadi abu.

Memang Pas kini dalam keadaan dilema. Macam seni kata lagu Perawan atau Janda. Abang pilih yang mana; Perawan atau janda? Perawan memang menawan; Janda lebih menggoda.

Seperti ditulis dalam ruangan yang lepas, niat Pas untuk penyatuan ummah itu memang baik tetapi ini melibatkan pertubuhan politik yang masing-masing dahagakan kuasa dan kerusi. Ia bukan merebut anak dara atau janda.

Jika persoalan janda atau dara, boleh sahaja Pas mengambil kedua-duanya tetapi ini soal politik. Ada dendam dan niat tidak baik yang sudah jelas dan nyata. Pas lebih berpengalaman dan faham soal ini kerana menyertai banyak gabungan PRU.

Adakah Pas bersedia membiarkan rakan lamanya (UMNO) ditikam di depan mata oleh rakan ‘serumahnya’? Bersatu bukan lagi ‘musuh dalam selimut’ bagi UMNO tetapi musuh nyata yang niat awalnya tidak perlu diulang lagi oleh Muhyiddin.

Pas harus ingat, bahawa Bersatu dilabel sebagai pengkhianat oleh banyak pihak kerana di dalamnya ada ‘katak’ yang meninggalkan UMNO dan PKR. Begitu juga dalam kalangan Bersatu menjadi penyebab jatuhnya kerajaan 22 bulan PH.

Tindak tanduk segelintir pemimpin Bersatu juga menyebabkan lahirnya Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad dan Muda pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. PBM juga nampaknya dipimpin oleh bekas pemimpin Bersatu.

Sudah terang lagi bersuluh. Siapa sebenarnya yang banyak musuh! Pas perlu membuat pilihan yang tepat, jangan bersikap sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Jangan sudah dapat gading bertuah tanduk tiada berguna lagi! — BebasNews

Leave a Reply