Foto via Blogspot

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Nasib Ringgit terus lemah dengan aliran penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin, mencecah paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.6030/6045 berbanding dolar AS daripada 4.5775/5800 pada akhir Jumaat lepas, menurut laporan Bernama.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Mohd Sedek Jantan berkata ringgit sememangnya dijangka susut susulan pengukuhan ketara dolar AS akibat perkembangan berkaitan kenaikan kadar faedah.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan unit tempatan itu akan kembali pulih selepas dolar AS mencatat penurunan apabila pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan tindakan menaikkan kadar faedah.

“Perlu diingat bahawa pengukuhan dolar AS akibat kenaikan kadar faedah, tidak hanya memberi kesan kepada ringgit tetapi juga mata wang lain,” katanya dalam laporan Bernama itu.

“Dari segi ketidaktentuan mata wang, ringgit lebih stabil berbanding mata wang Korea Selatan, Australia, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

“Pengukuhan ringgit itu telah didorong oleh pertumbuhan eksport yang menyaksikannya mencecah 48.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos yang juga paras tertingginya dalam tempoh 16 bulan,” katanya.

Bagi minggu ini, ringgit diunjur diniagakan pada paras 4.580 hingga 4.630 berbanding dolar AS.

— BebasNews

 

Leave a Reply