KIM Pan-gon mengalami kekalahan ketiga sejak menerajui Harimau Malaya, 17 Februari lalu selepas ditewaskan Singapura dan Bahrain 2-1. – Foto FAM

MALAYSIA kempunan Piala Raja Thailand yang kali terakhir dimenanginya 44 tahun lalu apabila ditewaskan Tajikistan 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir edisi ke-48, 2022, malam tadi.

Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai, Thailand menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam 90 minit permainan sebenar sebelum Rustam Yatimov menjadi pengadang dua sepakan penalti oleh Dion-Johan Cools dan Nazmi Faiz Mansor.

Penjaga gawang Tajikistan itu bijak membaca sepakan bek tengah dan perantara Malaysia itu ke sebelah kirinya manakala Safawi Rasid memudahkan laluan kejayaan lawan dek rembatan deras yang sekadar menggegar palang gol.

Tiga penalti pasukan Asia Tengah di ranking ke-109 dunia itu disudahkan Vahdat Hanonov, Komron Tursunov dan Rustam Soirov.

NAZMI Faiz Mansor (10) berputih mata dengan sepakan penentuan penaltinya yang dinafikan Rustam Yatimov. – Foto FAM

Namun sepakan awal cungkilan stailo kapten mereka, Akhtam Nazarov sempat disambut Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang mulanya seperti tersalah tekaan arah.

Inilah kejuaraan sulung Tajikistan yang baru menikmati aksi Piala Raja Thailand yang diasaskan pada 1968 manakala Harimau Malaya kempunan memilikinya buat kali kelima selepas 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Buat kali keduanya skuad Kim Pan-gon ini mengharungi penentuan sepakan penalti Piala Raja Thailand yang berformat tiada masa tambahan seperti mana kemenangan Malaysia terhadap tuan rumah, 5-3 setelah terikat 1-1, Khamis lalu.

Terdahulu kedua-dua pasukan bermandi hujan lebat dalam babak pertama selain terselit beberapa insiden pergeseran pemain-pemain khususnya yang membabitkan sayap kanan naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

Babak kedua menyaksikan satu-satunya peluang terbaik Harimau Malaya yang muncul pada rembatan kaki kiri Safawi tetapi berjaya ditepis keluar oleh Rustam pada minit ke-56.

MOHAMADOU Sumareh kerap kehilangan bola dan terbabit dalam pergeseran dengan pemain-pemain Tajikistan sehingga digantikan oleh Faisal Halim dalam babak kedua. – Foto FAM

Tajikistan tidak ketinggalan menguji Syihan dengan rembatan jarak jauh namun percubaan Muhammadjon Rahimov dan Manuchehr Safarov juga dengan kaki kiri itu ditepis keluar Syihan pada minit ke-68 dan 81.

Kejayaan Tajikistan kendalian warga Croatia, Petar Segrt ini menjadikan rekod pertemuan menyebelahi mereka 2-1 selepas kalah 1-0 di Bukit Jalil pada 9 November 2019 dan menang 4-1 di Dushanbe, 8 Ogos 2014.

MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh (Faisal Halim), Ahmad Khuzaimi Piee (Dominic Tan), Brendan Gan, Akhyar Rashid (Arif Aiman Hanapi), Syafiq Ahmad (Darren Lok) (Sharul Nazeem Zulpakar), Dion-Johan Cools, La’Vere Corbin-Ong.

PEMAIN-PEMAIN Malaysia seperti (dua dari kiri), Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Nazmi Faiz Mansor dan Faisal Halim cuba bertahan dengan asakan Tajikistan. – Foto FAM

Leave a Reply