KUALA LANGAT — Air pasang besar setinggi 5.4 meter melebihi paras biasa bakal direkodkan esok (Rabu) di kawasan pantai di daerah ini.

Menurut Timbalan Penyelaras Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Shahrul Nizam Khalil, berdasarkan rekod sebelum ini kenaikan setinggi itu akan menyebabkan air mencecah naik hingga ke daratan.

“Pemantauan di Pantai Kelanang bermula pukul 4.30 pagi, Ahad lepas mendapati air naik sehingga 5 meter dan air melimpah hingga ke pantai, tetapi tidak membimbangkan.

“Pada hari ini dijangka tahap kenaikan tertinggi adalah 5.3 meter berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi. Sehubungan itu kita mengetatkan kawalan dan mengadakan pemantauan dibantu Jabatan Penguatkuasa,” katanya ketika ditemui di Pantai Kelanang pagi ini.

Terdahulu, orang awam dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan pantai berikutan fenomena air pasang besar dijangka melanda daerah Kuala Langat bermula hari ini.

MPKL menerusi hantarannya di Facebook semalam memaklumkan Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib dan Pantai Batu Laut akan ditutup kepada orang awam sehingga Khamis.

Shahrul Nizam berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya ban penahan ombak telah dibaik pulih oleh pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) namun pemantauan akan tetap diteruskan dari masa ke semasa.

“Sebarang aktiviti di Pantai Chunang dan Jeti Tanjong Sepat juga tidak dibenarkan sehingga 29 September.

“Tindakan menyuraikan pengunjung sepanjang pantai akan dilakukan sepanjang tempoh air pasang berlaku.Elakkan aktiviti seperti berkhemah dan beriadah bagi mengelak sebarang musibah,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply