Ismail Sabri

MENGARANG perlukan ilham. Menulis cerpen perlukan ilham, begitu juga menggubah lagu atau menulis lirik lagu. Ilham tidak boleh dipaksa. Biasanya ia datang dalam keadaan sunyi, hening dan tenang dengan minda benar-benar fokus.

Ilham inilah yang sedang dinanti oleh perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, dalam melaksanakan satu misi besar yang hanya beliau boleh melakukannya, iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen. Laluan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kemudian akan terbuka.

Namun memetik Ismail Sabri dalam sidang media di New York baru-baru ini, beliau belum ada ilham mengenai tarikh membubarkan parlimen. Sekalipun sudah timbul pelbagai spekulasi mengenai PRU-15, dan desakan demi desakan agar parlimen dibubarkan, perdana menteri belum membuat keputusan.

Beliau hanya menegaskan, sebarang keputusan bergantung kepada hasil perbincangan lima pemimpin tertinggi UMNO terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Dijangka perbincangan lima pemimpin ini akan diadakan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada petang 30 September, diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah malamnya. Isu pembubaran parlimen dan PRU-15 berkemungkinan antara agenda mesyuarat.

Sebelum ini, mesyuarat kabinet berbelah bahagi mengenai pembubaran parlimen. Jemaah menteri yang mewakli UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikatakan setuju jika pilihan raya diadakan segera. Pihak Perikatan Nasional (PN) yang sama-sama mendokong kerajaan dilaporkan berpendirian sebaliknya.

Justeru menarik untuk melihat apa keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Biro Politik berhubung isu ini. Adakah UMNO akan tetap mendesak diadakan segera PRU seperti yang kerap dilaungkan oleh pemimpinnya, termasuk Ahmad Zahid?

Yang lebih menarik ialah seandainya kepimpinan tertinggi UMNO mahu PRU diadakan, apakah pendirian Ismail Sabri? Adakah beliau akan menurut keputusan parti atau mengambil kira perbincangan kabinet sebelum itu?

Mungkinkah nanti ilham beliau datang secara terpaksa kerana desakan parti atau individu tertentu, bukan kerana pendirian berdasar nalurinya sebagai perdana menteri? Ini adalah ibarat satu dilema yang tidak seharusnya diletakkan di atas bahu beliau.

Sepatutnya ketika negara sedang cuba kembali bangun daripada pandemik Covid-19 yang menjejas teruk ekonomi negara, dan perdana menteri serta kabinet sedang berusaha keras memulihkan ekonomi, beliau dan jemaah menteri perlu dibiar melaksanakan tugas tanpa gangguan.

Di samping itu, musim tengkujuh yang dijangka melanda hujung tahun ini akibat monsun timur laut juga satu pertimbangan yang mesti diambil kira. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), hujan lebat dijangka berlaku khususnya di negeri-negeri pantai timur yang mengakibatkan banjir. Sekarang pun hujan lebat sudah kerap tanpa mengira waktu.

Dengan situasi ini, PRU memang tidak sesuai diadakan tahun ini. Mana masa hendak memikirkan masalah ekonomi negara dan menyediakan peluang kerja untuk rakyat, dan pada masa sama memikirkan negara dilanda banjir serta rakyat yang dalam kesusahan berada di pusat pemindahan.

Jika pun perdana menteri masih belum ada ilham bubarkan parlimen, tidak mengapa. Tentu rakyat lebih suka kalau beliau terus berusaha memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat sejajar dengan kasih sayang beliau terhadap ‘Keluarga Malaysia’.

Rasanya inilah juga yang berada dalam hati sanubari perdana menteri. Justeru menjadi tugas semua, baik di pihak kerajaan atau pembangkang, memahami suara hati beliau dan sama-sama membantunya melaksanakan tugas dengan lancar dan jaya.

Rakyat juga mahu mereka diambil peduli, terutama ketika banjir melanda kelak. Yang penting nasib mereka dan keluarga terbela. Fokous utama ialah memastikan keselamatan diri dan keluarga, cukup makan minum serta kesihatan terjaga.

Mereka tidak ada masa mendengar kempen atau lebih memikirkan mengenai PRU walau pun ada pemimpin politik yang berkata sanggup meredah banjir untuk berkempen. Haruskah rakyat juga dikerah meredah banjir untuk mendengar kempen?

Kerana itu biarlah ilham Ismail Sabri tiba tanpa dipaksa apabila tempuh parlimen berakhir pada Julai 2023 nanti. Bukan lama lagi. Ketika itu mahu tidak mahu parlimen akan dibubar. Tunggu ketibaan waktu itu dengan sabar. Rakyat pun akan berada dalam keadaan lebih tenang untuk membuat pilihan.

— BebasNews

Leave a Reply