Kumpulan M.I.C merupakan artis pembuka tirai pentas sebelum Kim Jae Joong tampil mengadakan persembahan.

SELEPAS 12 tahun tidak menjejak kaki ke Malaysia, pada 23 September lalu, penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Kim Jae Joong kembali menemui peminatnya sempena konsert solonya, 2022 Kim Jae Joong Asia Tour Concert In Kuala Lumpur, anjuran iMe Malaysia.

Konsert yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC itu bukan sekadar ditonton oleh peminat tempatan, malah peminat tegarnya dari Amerika Syarikat, Kanada, Singapura, Indonesia, Thailand dan Jepun pun turut serta.

Jae Joong yang merupakan anggota kumpulan JYJ di bawah pengurusan C-JeS Entertainment itu baru saja tampil dengan album baharu berjudul Born Gene pada September lalu selepas enam tahun tidak menghasilkan album.

Kim Jae Joong menampilkan persembahannya dalam beberapa segmen yang menarik.

Seperti yang dijanjikan, Jae Joong memulakan persembahan kira-kira pukul 7.32 malam selepas penonton disajikan dengan tayangan video berkaitan dirinya.

Penyanyi berusia 36 tahun itu memulakan persembahannya dengan diiringi empat pemuzik itu menerusi lagu Just Another Girl yang dipetik daripada album popularnya, WWW yang dilancarkan pada 2013.

Jelas Jae Joong, dia merasa sangat gembira kerana dapat kembali datang ke Malaysia selepas 12 tahun dan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat.

“Melihat kehadiran anda semua membuatkan saya terharu. Maafkan saya kerana mengambil masa lama untuk menemui anda semua.

Segmen lagu-lagu balada, Kim Jae Joong mendendangkan lagu sambil duduk dengan jayanya.

“Apa khabar semua? Semalam saya baru belajar Bahasa Melayu iaitu perkataan, cantik. Adakah sebutan saya betul?,” katanya yang cuba berkomunikasi dengan penonton dalam bahasa Melayu.

Selepas bertegur sapa dengan penonton, pelakon drama Protect The Boss meneruskan persembahan dengan lagu baharu, BPM yang dimuat naik dalam album Born Gene. Kemudian diikuti dengan lagu rancak berjudul Tick-Tack.

Untuk tidak membiarkan penonton tertunggu-tunggu tatkala penyanyi itu bertukar pakaian, penonton disajikan dengan video tentang pembikinan albumnya, selain menampilkan beberapa jawapan yang sering ditanya oleh peminat serta video dia bersama keluarga.

Terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat Malaysia selpas 12 tahun tidak berkunjung ke sini.

Sebagai seorang fesyenista, Jae Joong juga mengambil berat mengenai penampilannya di pentas. Menariknya, penampilan dia mengikut segmen persembahan.

Untuk persembahan kira-kira dua jam itu, Jae Joong mendendangkan lagu-lagu mengikut genre muzik dan susunan lagu yang diatur ada ketikanya membuat penonton sedih dan di waktu lain melonjak gembira.

Jae Joong yang sudah 19 tahun bergelar anak seni itu berjaya membuktikan bahawa dia cukup berpengalaman kerana mampu menyampaikan lagu dari rentak balada hingga ke rock dengan aksi yang berbeza.

Dalam setiap persembahan, dia kelihatan bersahaja walaupun lagu yang didendangkan bernada tinggi. Dia bukan macam idol K-Pop yang lain, menyanyi sambil menari. Kekuatan Jae Joong terletak pada vokal dan lagu-lagu hit dendangannya.

Kim Jae Joong harap tahun hadapan dapat datang ke Malaysia lagi untuk bertemu para peminat.

Merasakan pertemuannya dengan peminat di Malaysia belum memadai, sebelum mengakhiri persembahan Jae Joong berjanji akan datang lagi tahun hadapan.

Sebelum persembahan Jae Joong, pentas malam itu diserikan dengan persembahan kumpulan baharu, M.I.C (Made In C-JeS) yang juga bernaung di bawah agensi yang sama dengan Jae Joong.

M.I.C mendendangkan lagu medley termasuk lagu dari kumpulan JYJ iaitu Mission dan Chajatta yang merupakan lagu runut bunyi untuk drama Sungkyunkwan Scandal.

— BebasNews

Leave a Reply