Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff

BEGITU galak sekali pemimpin pembangkang tertentu, khasnya dari Pakatan Harapan, cuba membangkitkan emosi kemarahan rakyat terhadap kerajaan dengan memainkan sentimen kerajaan gagal sejak kebelakangan ini.

Terpampang di laman Twitter seorang Ahli Parlimen DAP baru-baru ini kenyataan yang berbunyi bahawa kerajaan sekarang adalah “sebuah kerajaan gagal yang tiada hala tuju tanpa komitmen untuk melakukan perubahan”.

Di laman Twitter Ahli Parlimen DAP yang sama juga terpampang gesaan berbunyi “Marilah kita bersiap sedia memastikan kerajaan gagal hari ini diganti dengan kerajaan baru Pakatan Harapan yang bersih, cekap dan berintegriti”.

Meletakkan kejatuhan nilai RM ke paras paling teruk berbanding nilai USD sebagai pengukur bahawa kerajaan sekarang adalah “sebuah kerajaan gagal” bukanlah satu tindakan yang betul malah terpesong dari hakikat sebenar.

Beberapa orang pakar ekonomi seperti Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid dan Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai telah berkali-kali menjelaskan bahawa kejatuhan nilai RM berbanding nilai USD tidak bermakna Malaysia telah terbenam jauh di dalam kegawatan.

Keadaan ini berlaku disebabkan ketidaktentuan persekitaran ekonomi global, khususnya tindakan US menaikkan kadar faedahnya menyebabkan banyak negara di dunia mengalami penurunan mata wang jauh lebih teruk berbanding kejatuhan nilai RM.

Untuk melunakkan gejala kemerosotan ekonomi, kerajaan telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara berdikit-dikit agar beban isirumah penghutang terbendung sambil kemerosotan kesejahteraan isirumah keseluruhan ditangani melalui pemberian subsidi.

Memang mudah untuk pihak pembangkang membuat tuduhan terhadap kerajaan kerana mereka sekadar perlu menyalahkan dan menyalakan sentimen dan api kemarahan rakyat sahaja tanpa perlu menyediakan apa-apa pelan sendiri untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan.

Begitupun, mujurlah majoriti rakyat negara hari ini masih berfikiran waras dan tidak segera melompat ke jalanan untuk berdemonstrasi menentang kerajaan seperti yang berlaku di sesetengah negara lain kerana keadaan ekonomi di negara kita tidaklah seteruk di negara mereka.

Rata-rata rakyat di negara kita masih sedar keadaan sebenar yang wujud bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia juga yang kerajaannya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran besar bagi memulihkan negara masing-masing dalam era pasca pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, kita perlu berlaku adil dengan kerajaan sendiri dengan melihat kepada pengukuran yang dibuat oleh beberapa agensi asing berwibawa yang menunjukkan bahawa keadaan di negara kita tidaklah seburuk yang didakwa malah sebenarnya meningkat dengan baik sekali.

Sebagai contohnya, pada Februari 2022, laporan Indeks Demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 buah negara dan wilayah di seluruh dunia mengenai kedudukan demokrasinya.

Kedudukan demokrasi di Malaysia jelas terus segar-membugar dari semasa ke semasa, di mana bermula daripada 5.98 mata (daripada 10.00 mata) pada 2006, ia menaik menjadi 7.16 mata pada 2019, 7.19 mata pada 2020 dan 7.24 mata pada 2021.

Adalah membanggakan bahawa Malaysia berada pada tempat tertinggi di kalangan seluruh anggota ASEAN, mengatasi negara-negara jiran seperti Indonesia yang memperolehi 6.71 mata), Filipina (6.62 mata), Singapura (6.23 mata) dan Thailand (6.04 mata).

EIU mengukur tahap demokrasi di sesebuah negara dari lima aspek, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, keberfungsian kerajaan, penglibatan politik, budaya politik demokrasi dan kebebasan sivil.

Secara puratanya Malaysia mendapat mata amat tinggi, khususnya dalam aspek proses pilihan raya dan pluralisme, iaitu 9.58, dalam aspek keberfungsian kerajaan, iaitu 7.86, dan dalam aspek penglibatan politik, iaitu 7.22.

Dalam tempoh singkat, banyak sekali pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang, termasuk menghormati kebebasan institusi Kehakiman, memperkasakan kedudukan Institusi Parlimen, dan meluluskan pelbagai Rang Undang-Undang signifikan.

Dalam bulan Jun 2022 pula, laporan Global Peace Index (GPI) 2022 yang dikeluarkan oleh Institute of Economics and Peace (IEP) Australia menempatkan Malaysia di tempat ke-18 daripada 163 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Tempat ke-18 ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI ini bermula pada tahun 2008, berbanding 2016 (tempat ke-37), 2017 (tempat ke-35), 2018 (tempat ke-31), 2019 (tempat ke-25), 2020 (tempat ke-24) dan 2021 (tempat ke-23).

GPI diukur menggunakan tiga domain.

Domain pertama, Ongoing Domestic and International Conflict, mengukur tahap dalam mana sesebuah negara terlibat dalam konflik dalaman dan konflik antarabangsa.

Domain kedua, Societal Safety and Security, menilai tahap keharmonian atau perbalahan dalam negara. Sesebuah negara dikira sebagai aman jika ia mempunyai kadar jenayah yang rendah, aktiviti keganasan dan demonstrasi ganas yang minimal, hubungan yang baik dengan negara-negara jiran, keadaan politik yang stabil serta hanya sejumlah kecil rakyat yang terpinggir atau menjadi pelarian.

Domain ketiga, Militarisation, pula mengkaji tahap pembinaan ketenteraan dan akses kepada persenjataan yang dimiliki oleh sesebuah negara.

Syukur sekali kerana Malaysia tidak terlibat dalam mana-mana konflik dalaman dan konflik antarabangsa yang serius. Begitu juga dengan tahap pembinaan ketenteraan dan akses kepada persenjataan yang rendah.

Lebih bermakna lagi, Malaysia mempunyai skor yang amat baik dari sudut Societal Safety and Security. Kita umpamanya mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara jiran serta tidak berhadapan dengan aktiviti keganasan dan demonstrasi ganas.

Malah, dari sudut kestabilan politik sekalipun, walaupun negara kita menyaksikan dua kali berlaku pertukaran kerajaan pada 2020 dan 2021, mengikut kriteria GPI kita boleh ditakrifkan sebagai masih stabil kerana, umpamanya, kita tiada risiko kekacauan sosial yang besar.

Tidak syak lagi, kestabilan politik ini terhasil dari gagasan Keluarga Malaysia ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah berupaya menjaga keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sebab itulah juga amat wajar dan bertepatan sekali bila Perdana Menteri bercakap mengenai soal keamanan dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada 23 September lalu.

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply