Gambar hiasan - Foto blogspot.com

PILIHAN raya umum ke-15 (PRU15) adalah yang paling kritikal kepada kelangsungan kuasa Peribumi, Melayu dan Islam dalam konteks pemerintahan Malaysia yang majmuk di abad ke-21.

Ini kerana politik Peribumi, Melayu dan Islam selaku warganegara Malaysia super-majoriti pada hari ini tidak boleh dibiarkan terus lemah dan berpecah-belah hingga menjejaskan perpaduan, keharmonian, kedamaian, kemakmuran dan keselamatan selaku nilai-nilai teras utama negara.

Pemimpin parti politik Peribumi, Melayu dan Islam serta komponennya hanya mampu memenangi pilihan raya ini jika mereka berjaya memuktamadkan pembentukan gabungan yang sejati dengan strategi yang luar biasa fokus dan coraknya.

Pertama, gabungan politik ini mesti dipimpin oleh individu berintegriti tinggi supaya mereka boleh menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dan salah guna kuasa  yang telah mencetuskan pelbagai ancaman keselamatan politik, identiti, sosioekonomi dan lain-lainnya.

Kedua, gabungan ini mesti dipimpin oleh individu yang telus, jujur, ikhlas dan tinggi akal-budinya. Setiap kata-kata manis mereka ketika di bibir, mestilah terus sejati ketika di lubuk hati. Kejernihan niat perjuangan yang mereka ikrarkan mestilah bagaikan air sungai yang terus jernih sampai ke muara.

Ketiga, gabungan ini juga mesti bebas daripada sebarang cengkaman kelompok warlords dan king-makers yang sangat dominen peranannya di zaman menjelang PRU14 dan sebelumnya.

Keempat, matlamat besar gabungan ini adalah untuk memulihkan politik dan ekonomi negara yang terumbang-ambing sejak Mei 2018; menyelamatkan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam yang sedang berpecah-belah; dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.

Kelima, misi utama gabungan ini bukan untuk bertarung sesama sendiri bagi menentukan siapa yang hendak diangkat menjadi perdana menteri. Sebaliknya, untuk memastikan parti politik Peribumi, Melayu dan Islam serta komponnennya membentuk pemerintahan baharu demi rakyat dan negara, serta kemakmuran dan keselamatannya.

Oleh itu, pembesar Peribumi, Melayu dan Islam serta komponennya perlu bangkit segera, satukan jiwa dan tekad, serta gandingkan tenaga untuk bergerak ke depan, tanpa bernostalgia atau berhalusinasi.

Para pemimpin dalam gabungan ini juga perlu menitikberatkan aspek kemurnian dan ketulusan niat dalam perjuangannya; bukannya kepura-puraan atau kepalsuan. Lantas, luruskan segala niat yang bengkok; tegakkan seluruh arah perjuangan yang condong; jitukan kesemua matlamat kerjasama yang bersimpang-siur; dan muktamadkan wadah perjuangan bersama yang penuh wibawa dan integriti, untuk menentang kemungkaran, dan menegakkan kebenaran.

Kemenangan gabungan ini dalam PRU15 juga memerlukan strategi yang berkesan. Tetapi, disebabkan strategi adalah rahsia, cukuplah untuk dinyatakan di sini bahawa ia perlu dibentuk berasaskan pelbagai faktor yang berubah-ubah dan berbeza- berbeza, berdasarkan warna dan suasana yang tidak serupa di merata negara.

Secara umumnya, strategi tersebut mestilah bersasar dan bervariasi. Lain padang lain bentuknya; lain gelanggang lain lenggoknya; lain pengundi lain tumpuannya.

Pengurusan dan pelaksanaan strategi pilihan raya seperti ini memerlukan kumpulan tenaga kepimpinan yang pintar melakukan penyesuaian dari semasa ke semasa, berdasarkan maklumat risikan, perkembangan setempat, dan evolusi proses berkempen di sesuatu kawasan tertentu.

Hakikat mengenai pengurusan strategi pilihan raya ini jarang sekali mendapat perhatian pemimpin tertinggi sesebuah gabungan politik di semua peringkat sebelum ini. Namun, hakikat ini amat penting dan tidak boleh diabaikan dalam PRU15.

Seperti dinyatakan di atas, ini kerana PRU15 adalah ibu kepada segala pilihan raya yang amat kritikal kepada kelangsungan kuasa Peribumi, Melayu dan Islam di Malaysia pada ketika ini.

Pada waktu yang sama, kerana strategi ini juga merangkumi pelbagai aspek pengurusan pilihan raya yang mencakupi aspek kecekapan jentera, kewangan dan kempen. Ia juga membabitkan beberapa taktik operasi yang sentiasa memerlukan penyesuaian, berubah-ubah dan berlainan.

Banyak pihak pula berpendapat bahawa strategi bagi PRU15 juga perlu merangkumi aspek ciri-ciri calon yang ditertandingkan. Ini kerana para pengundi mahu menyokong calon yang berwibawa, berintegriti, berpengalaman luas, berpendidikan tinggi, sentitif kepada kehendak rakyat, serta prihatin terhadap tuntutan negara.

Hakikatnya demikian kerana PRU15 akan menentukan corak kepimpinan dan pengurusan negara selepas pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama hampir dua tahun di era selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

Oleh itu, sama-samalah kita insafi bahawa PRU15 bukannya pesta canggong atau Mak Yong; bukan tarian kuda kepang atau dondang sayang; dan bukan juga majlis boria atau menora yang hanya berasaskan tatacara operasi yang khusus dan tetap sejak zaman berzaman lamanya.

— BebasNews

Leave a Reply