KALAU dah jiwa penyanyi masih tetap nak menyanyi. Begitulah kisahnya dengan vokalis kumpulan Scoin, Wan Scoin yang baru pulih daripada stroke namun masih berminat untuk menyanyi bagi menyara kehidupan keluarganya.

Wan atau nama sebenarnya, Redzuan Abdul Manan, 42, berkata,Alhamdulillah kini dia sudah pulih sepenuhnya namun tidak kuat seperti sebelumnya.

“Syukur pada Allah kini saya semakin sihat. Lima bulan lepas saya diserang minor stroke ketika tengah buat event di Pahang. Serangan ini menyebabkan kaki dan tangan sebelah kiri saya tidak boleh bergerak. Oleh kerana saya cepat berubat dalam masa yang singkat saya kembali pulih.

“Masa kena tu selain berjumpa doktor, keluarga isteri tetap usahakan berubat cara kampung. Setiap hari saya diurut dengan minyak tanah yang digaul bersama sedikit halia serta minyak urut. Alhamdulillah. Sejak amalkan urutan dengan minyak tanah ini, kaki dan tangan saya kembali pulih.

Wan Scoin

“Walaupun dah pulih, namun saya tidaklah kuat macam dulu lagi. Dulu setakat memandu kereta dari Johor ke Kuala Lumpur tiada masalah untuk terus memandu. Sekarang ini, saya tak macam dulu lagi. Kini saya cepat penat dan kalau dah penat kenalah kerap berhenti-henti bila memandu.”

Wan Scoin bapa kepada dua cahaya mata ini menambah, kini masanya untuk dia kembali aktif setelah berehat sekian lama.

“Saya menyepikan diri bukan kerana merajuk. Tapi waktu itu saya bekerja di sebuah hospital di Singapura selama lima tahun. Kemudian saya juga sibuk menjaga mak mentua yang sakit sejak kematian bapa mentua saya dan kami bertanggungjawab untuk menjaganya di Labis, Johor.

“Sejak berhenti kerja di Singapura, saya aktif mengikut orang mengendalikan event. Kalau ada rezeki, ada juga jemputan untuk saya menyanyi. Rasanya, dah lama sangat saya berehat. Kini saya kena aktif semula. Saya tahu peminat-peminat Scoin masih ada lagi.

Sepanjang bersama kumpulan Scoin, mereka pernah tampil dengan tiga buah album iaitu Rindu-Rinduan Jadi Kenangan (1998), Buah Hatiku (1999), Yang Sayang Yang (2000) dan Scoin 1 (2005) dan beberapa buah album kompilasi Terbaik Scoin.

Menurut Wan Scoin yang juga popular dengan lagu Rindu-Rinduan Jadi Kenangan dan Ku Menangis Kehilanganmu, Selagi ada peluang menyanyi dan suaranya masih diterima peminat, dia akan terus menyanyi.

“Bila dah jadi anak seni, minat untuk menyanyi tak pernah padam dalam diri saya. Apatah lagi koleksi lagu Scoin masih diputarkan di radio dan jadi pilihan peminat di pusat-pusat karaoke. Itu yang buat saya bersemangat untuk kembali menyanyi. — BebasNews

Leave a Reply