MELAKA United FC tetap menjalani latihan persediaan menghadapi Selangor FC dalam Liga Super di Petaling Jaya, Sabtu ini biarpun telah tersingkir daripada Piala Malaysia, bulan depan. – Foto MUFC

KESEMUA pasukan Liga Super 2022 termasuk yang berkesudahan di tempat corot pun, layak beraksi dalam Piala Malaysia 2022 kecuali Melaka United FC.

Penganjur, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan nekad ini ekoran larangan penyertaan ‘Sang Kancil’ gara-gara gagal menyelesaikan tunggakan gaji para pemain dan pegawainya mengikut tarikh ditetapkan.

Peraturan asal pertandingan Piala Malaysia menetapkan hanya 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima teratas Liga Perdana, layak menyertainya kecuali pasukan pengumpan atau simpanan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II, Terengganu FC II dan Selangor FC 2.

“MFL mengumumkan kesemua pasukan Liga Super 2022 akan mengisi slot Piala Malaysia 2022 selepas satu daripadanya kekosongan (akibat pembatalan slot) Melaka United FC (seperti diumumkan 21 September lalu).

“Keputusan itu dicapai Lembaga Pengarah MFL ekoran kegagalan kelab itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

“Melaka United FC kini menduduki tempat kesembilan Liga Super 2022 (selepas 18 perlawanan dan berbaki empat lagi),” lapor kenyataan rasmi MFL, hari ini.

Pasukan pengganti harus dipilih daripada Liga Super untuk mengekalkan 11 pasukan (terbaik) Liga Super dan lima pasukan (terbaik) Liga Perdana beraksi dalam pertandingan Piala Malaysia 2022, tambah kenyataan itu.

Dengan keputusan MFL itu, yang mewakili Liga Super ke Piala Malaysia ialah JDT FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Petaling Jaya (PJ) City FC dan Penang FC.

Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC pula layak daripada Liga Perdana.

Keputusan MFL ini juga menutup langsung kemungkinan talian hayat buat Perak FC daripada Liga Perdana untuk merebut slot Piala Malaysia menerusi play-off dengan yang terakhir layak daripada Liga Super.

Piala Malaysia dijadualkan pada pertengahan bulan depan dengan formatnya bakal kembali dengan liga berkumpulan dan kalah singkir.

Juara bertahan, Kuala Lumpur City FC kini berada di anak tangga keenam Liga Super 2022 manakala JDT FC yang dikalahkannya 2-0 dalam final November lalu, menerajui carta kedudukan dengan kelebihan tujuh mata.

Sementara itu, MFL dalam kenyataan rasmi berasingan, melaporkan, tiada play-off bagi dua slot Liga Super 2023 antara dua pasukan terbawah Liga Perdana 2022 dengan juara dan naib juara Liga M3, musim ini.

Keputusan ini berdasarkan semakan Badan Penilaian Awal (FIB) berhubung permohonan pelesenan kelab profesional yang membabitkan tujuh kelab Liga M3, 2022.

“Selepas permohonan pelesenan itu berakhir pada 17 September lalu, hanya PIB FC dan  Harini FT yang menunjukkan proses yang baik namun masih tidak melengkapkan kriteria-kriteria kelab profesional ke play-off Liga Super 2023.

“Kelab-kelab lain ialah BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir.

Dengan ini, dua pasukan corot Liga Perdana 2022 ialah UiTM FC dan Perak FC secara automatik dinaikkan ke Liga Super 2023 yang menghimpunkan 18 pasukan. — BebasNews

Kuala Lumpur City FC, juara Piala Malaysia 2021. – Foto MFL
KEDUDUKAN mata Liga Super 2022 selepas 17 hingga 19 perlawanan membabitkan 12 pasukan. – Foto MFL

Leave a Reply