Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sejumlah RM2.23 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dari 2011 hingga 2013 oleh tiga pihak, termasuk dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat, 57, memberitahu, Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp, telah mendepositkan RM2.2 bilion ke dalam akaun Najib yang berakhir dengan nombor 694, melalui 11 transaksi pada tahun 2012 dan 2013.

Bekas Perdana Menteri itu turut menerima RM60.6 juta daripada Putera Faisal Bin Turki Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram Najib membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB funds dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Yap yang terlibat dalam sebut harga kadar pertukaran asing bagi kiriman wang masuk atau keluar pada ketika itu, berkata beliau telah diarahkan oleh pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping untuk membantu dalam perkara berkaitan pertukaran asing di bawah Bahagian Pasaran untuk akaun tersebut.

Maklumat mengenai wang masuk ini telah disampaikan oleh Bahagian Kiriman Wang kepada Yap dan Joanna Yu yang mengendalikan akaun Najib bagi membolehkannya memaklumkan kepada pelanggan bahawa terdapat wang masuk ke dalam akaun Najib.

“Joanna Yu mengarahkan saya supaya melaksanakan penukaran wang daripada dolar AS kepada ringgit selepas dia mendapat kelulusan daripada pelanggan (Najib). Selepas itu, jabatan saya melakukan apa yang perlu dengan memasukkan data yang berkaitan ke dalam sistem yang dipanggil MUREX di mana penukaran dilakukan mengikut kadar yang dipersetujui seperti dalam kontrak.

“Kemudian, pihak saya menghubungi Bahagian Kiriman Wang dan memaklumkan nombor kontrak dan kadar pertukaran. Berkenaan dengan transaksi ini, jabatan saya bertindak mengikut arahan oleh Joanna Yu kepada saya selepas dia menerima arahan daripada pelanggan,” jelasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BebasNews

Leave a Reply