Gambar hiasan - Foto via Blogspot
Oleh Adlin Shaimi Baharom

PERKAHWINAN adalah satu fasa kehidupan yang amat dinanti-nantikan oleh setiap manusia. Ia adalah satu proses di mana fitrah seorang lelaki dan seorang wanita ingin menjalani hidup sebagai sebuah pasangan, direalisasikan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Najm ayat 45, mafhumnya : “Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan…”.

Dalam ayat 13 Surah Al-Hujurat pula, Allah berfirman mafhumnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Jelaslah bahawa umat manusia ini diciptakan pasti memiliki pasangan iaitu jodoh yang telah ditentukan sejak azali lagi. Namun, dalam usaha mencari dan mendapatkan jodoh, adakah ianya peranan kaum lelaki semata-mata? Pastinya tidak.

Stigma dalam masyarakat Melayu kita apabila wanita yang mengorak langkah untuk mendapatkan jodoh diterjemahkan melalui peribahasa ‘perigi mencari timba’.

Ianya dianggap sebagai tindakan yang tidak manis memandangkan wanita amat sinonim dengan sifat malu yang menebal.

Pada era modenisasi ini, stigma tersebut wajarlah diabaikan.

Hal ini kerana pada zaman yang penuh mencabar seperti sekarang, wanita tidak lagi harus dikongkong dan hanya mengikut telunjuk keluarga sahaja.

Mereka berhak membuat pilihan dan menentukan calon suami terbaik untuk memimpin rumahtangga bahagia yang diimpikan.

Luahan hasrat perkahwinan seorang wanita kepada lelaki bukanlah perkara yang salah.

Ia adalah tindakan yang betul jika disulami dengan perancangan dan strategi masa depan yang terjamin.

Terdapat ribuan jenis lelaki yang wujud dalam komuniti, kaum wanita berkesempatan menapis setiap dari kalangan mereka untuk mencari lelaki yang diimpikan sebagai suami kelak.

Lelaki hidung belang, kaki perempuan, biawak hidup dan pelbagai lagi sikap negatif seorang lelaki berupaya dihindarkan jika wanita mengambil langkah awal dalam memilih.

Jika ditemui lelaki yang rajin, bersikap matang, tidak beremosi, berperwatakan menarik dan kuat pegangan agama, pastinya si wanita tidak akan ragu-ragu lagi dalam mengorak langkah ke arah mendirikan rumahtangga.

Jika ditelusuri dari aspek sejarah Islam, tahukah pembaca bahawa Rasulullah SAW juga telah dilamar oleh seorang wanita mulia bernama Khadijah binti Khuwailid.

Lamaran itu dibuat melalui utusan Khadijah iaitu Maisarah kepada baginda.

Saidatina Khadijah amat tertarik dengan peribadi dan personaliti Rasulullah yang ditonjolkan baginda dalam menguruskan amanah perniagaan barang dagangan milik Khadijah.

Dalam kisah ini, jelas bahawa Khadijah tidak bertangguh lagi untuk menjadikan Rasulullah sebagai peneman hidup.

Malah, terdapat satu lagi kisah yang dicatatkan oleh Imam Bukhori dalam Sahihnya iaitu hadith bernombor 5658.

Pada suatu hari, seorang wanita datang bertemu Rasulullah SAW dan menawarkan dirinya untuk dinikahi baginda.

Peristiwa ini dilihat oleh anak perempuan Anas bin Malik lalu dia berkata, “Alangkah tidak malunya wanita itu.”

Lalu kata-katanya itu ditempelak oleh bapanya, Anas, “Wanita itu lebih baik darimu, dia tawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW!”.

Berdasarkan kisah ini, para ulama telah membuat beberapa kesimpulan bahawa harus seorang wanita melamar lelaki yang soleh untuk dinikahinya, dan sebab lamaran itu dibuat kerana kesolehan sang lelaki, sifat mulia yang ada padanya atau nilai-nilai agama yang ada dalam dirinya. Malah, perkara itu langsung tidak merendahkan maruah wanita tersebut bahkan menonjolkan ketinggian jiwa dan nurani wanita itu.
(Fathul Bari syarah Sahih al-Bukhori)

Perkahwinan merupakan pelengkap kepada melengkapkan agama orang beriman. Justeru, melalui langkah melamar lelaki yang tepat, dia pasti berupaya membimbing wanita tersebut mengharungi fasa dan liku-liku kehidupan mendatang berlandaskan paksi agama.

Oleh itu, para wanita jangan sesekali malu untuk mengorak langkah dahulu dalam usaha mendapatkan calon suami terbaik yang bakal memberi kesan pada masa hadapan.

Adlin Shaimi Baharom

Penulis merupakan Mahasiswa Tahun 4, Jabatan Sejarah & Tamadun Islam
Universiti Malaya

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply