Slank tidak pernah tergugat dengan kehadiran kumpulan muzk baharu.

SEJAK boleh ke sana ke sini, industri seni tempatan tampak rancak dan secara tak langsung membolehkan penyanyi, pelakon atau penggiat seni kembali turun padang meneruskan kerjaya masing-masing.

Malah di waktu yang sama, penganjur atau promoter yang sebelum ini sepi selama dua tahun kembali mencari keuntungan dengan menganjurkan pelbagai konsert.

Banyak konsert yang telah dan bakal berlangsung di tanah air ini adalah anjuran penganjur tempatan tapi rata-rata yang tampil berada di pentas berskala besar adalah orang luar.

Antara artis Indonesia yang telah dan bakal menghibur peminat Malaysia ialah Kunto Aji, Hetty Koes Endang, Dewa 19, Rossa, Ungu, Gigi, Rizky Febian, Afgan, Radja & Repvblik, Slank, Padi serta Tri Suaka, Nabilah Maharani, Zidan, Angga Candra dan Valdy Nyok pada 23 Oktober ini.

Kumpulan rock legenda dari Indonesia, Slank akan menghibur peminat tempatan, November ini.

Konsert artis tempatan pun ada seperti Search, Wings, Datuk Hattan, Datuk Ramli Sarip, Bunkface, Anuar & Ziana Zain, Exists namun nisbahnya kurang berbanding dengan kehadiran artis luar mengadakan konsert di sini.

Agak-agaklah bila artis tempatan yang dikatakan serumpun dengan negara jiran itu berpeluang untuk melangkah ke sana seperti mana keluar masuknya orang luar ke negara kita.

Tidak perlu menyalahkan pihak penganjur yang dikatakan pilih kasih kerana dalam bisnes tiada siapa yang mahu rugi. Sebelum melabur dalam sesuatu projek besar (konsert) pasti wakil penganjur sudah membuat tinjauan, siapa yang mampu ‘pull crowd’ di pentas atau sekadar di media sosial saja.

Untuk mengelak artis tempatan di’anak tiri’kan adalah lebih baik jika pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan konsert ini, meletakkan syarat untuk setiap konsert artis luar wajib disertakan artis tempatan.

Atas dasar artis luar mampu menarik kehadiran ramai penonton maka, TBRW Global Sdn. Bhd., selaku penganjur bakal menerbangkan kumpulan Slank dari Indonesia bertemu peminat di sini.

Kumpulan yang popular dengan lagu Ku Tak Bisa, Virus, Kamu Harus Pulang, Mawar Merah, I Miss You But I Hate You dan banyak lagi itu mahu menghibur peminat mereka di sini sempena Konsert 4 Dekad Slank yang bakal diadakan pada 19 November ini di Zepp, Kuala Lumpur.

Slank yang dianggotai oleh Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bes) akan menghibur para Slankers di Malaysia bermula pukul 8.30 malam selama dua jam persembahan.

Wakil penganjur, Wan Norul Fadly berkata, pihaknya cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak muncul di Kuala Lumpur khususnya.

“Kami ingin membawakan sebuah kumpulan yang sangat legenda dari seberang dan kami berasa sangat gembira untuk mengumumkan Konsert 4 Dekad Slank yang akan diadakan pada 19 November ini,” ujar Wan Norul Fadly.

Persembahan Slank pada 19 November ini akan berlangsung kira-kira dua jam.

Slank merupakan kumpulan rock terbesar di Indonesia yang berasal dari Jakarta. Kumpulan pujaan ramai ini ditubuhkan pada 26 Disember 1983 oleh remaja di lorong di Jakarta yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock.

Slank muncul dengan album berjudul Suit-suit… Hehehe (Gadis Sexy) pada tahun 1990 diikuti dengan pelbagai album pada setiap tahun hinggalah album Vaksin Slank yang dilancarkan pada 1 Januari 2021 dengan tag line ‘Suntikan cinta yang menyehatkan hati dan mencerdaskan akal. Vaksin Slank.’

Sehingga kini dalam usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 buah album dan itu merupakan kunci kepada keberadaan mereka hingga kini.

Menurut Kaka, rahsia kepada keberadaan mereka selama 40 tahun dalam industri dan diterima oleh pelbagai generasi adalah kerana rutin mengeluarkan karya baharu.

Malah Bimbim juga menganggap yang pemuzik akan selalu diingati dan dilihat kerana karya mereka. Justeru itu, dia berpesan kepada rakan artis lain agar jangan berhenti bekarya kerana karya seniman akan ditunggu. Jika berhenti berkarya, orang akan turut berhenti mengikuti.

Kumpulan yang aktif hingga sekarang ini, pernah muncul dengan beberapa album runut bunyi seperti Get Married, Get Married 2 dan Generasi Biru The Movie. Slank turut menyatakan rasa syukur kerana dari tahun 1990 hingga kini, masih produktif dan tetap muncul dengan karya-karya baharu.

Muzik Slank juga dianggap sebagai salah satu khazanah kebudayaan Indonesia. Malah kumpulan ini pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya empat kali memenangi Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia serta memenangi Most Favorite Band di Anugerah MTV Indonesia dan pelbagai lagi.

Tiket-tiket dengan harga (early bird) Cat 4 (RM298), Cat 3 (RM398), Cat 2 (198) dan Cat 1 (238) harga biasa (normal) Cat 4 (RM318), Cat 3 (RM418), Cat 2 (218) dan Cat 1 (258) dijual sejak 23 September lalu di https://www.ticket2u.com.my.

— BebasNews

Leave a Reply