Pelakon dan pengarah Yusof Wahab bakal mewakili negara dalam pertandingan Seni Mempertahankan Diri di Liinyi, Shandong, China tahun hadapan

AGAK lama juga pelakon Yusof Wahab, 61, tidak tampil di kaca televisyen atau layar lebar. Pelakon yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem kelapan pada 1989 untuk filem Anak Sarawak itu, bukanlah merajuk dengan dunia seni.

Yusof yang kali terakhir muncul dalam drama Bomoh Temberang untuk beberapa adegan itu berkata, dia tidak pernah meninggalkan bidang seni dan jika ada tawaran yang bersesuaian pasti diterima.

“Buat masa ini abang tidak mengarah atau berlakon. Last berlakon Bomoh Temberang itupun dua tiga scene saja. Ada orang tawar tapi orang dah tua macam abang ni, nak berlakon watak apa.

“Nak berlakon buat roti canai tak tahu. Kalau berlakon untuk silat, mungkin abang akan terima,” katanya ketika ditanya tentang perjalanan kerjaya sebagai anak seni.

Yusof Wahab mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang persilatan Melayu.

Pelakon yang menggunakan nama Haadji Maa Hayu untuk bidang pengarahan itu, baru-baru ini ditemui sewaktu menjalani penggambaran video seni mempertahankan diri atau silat yang berdurasi 10 hingga 15 minit.

Video tersebut dibuat sebagai syarat penyertaan pertandingan Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts Competition) yang akan berlangsung di Linyi, Shandong, China pada tahun hadapan.

Menurut Yusof, dia dipilih untuk mempamerkan aksi silat bagi mewakili Malaysia selepas pengerusi dan penerbit NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn. Bhd., Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh melihat aksi silat lakonannya dalam filem Anak Sarawak.

Nama syarikat NQCC cukup dikenali di China kerana banyak program terbitannya ditayangkan di CCTV (China Channel TV) sejak sekian lama.

Pengerusi dan penerbit NQCC, Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh mahu memperkenalkan silat kepada rakyat negara China sebelum menerbitkan filem yang menampilkan ilmu persilatan.

Bersandarkan populariti dan kemampuan NQCC, Mac lalu, Dr. Mazlan Goh diundang untuk menyertai Pertandingan Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts Competition) yang diadakan setiap tahun di negara Tembok Besar itu.

Menyedari keindahan seni silat Melayu, Dr. Mazlan Goh mengambil keputusan untuk membawanya ke pentas luar dari Malaysia. Demi merealisasikan impiannya, dia menghubungi Yusof untuk mengajar remaja bersilat.

“Bila Dr. Mazlan dapat tawaran dari China untuk pertandingan wushu (seni bela diri) dan minta carikan orang yang boleh ajar tentang silat, abang tertanya juga apa kena mengena dengan silat.

“Abang cakap pada Dr. Mazlan, silat kalau nak mahir tak boleh dua tiga bulan, dua tiga tahun pun belum tentu. Bila Dr. Mazlan tengok gambar abang dalam filem Anak Sarawak, dia tertarik. Dari situlah mulanya abang terlibat dengan Dr. Mazlan yang menyertai pertandingan tersebut atas tiket persembahan silat.

“Tanya juga dia kenapa hantar lain daripada yang lain walaupun silat adalah salah satu seni mempertahankan diri, kata Dr. Mazlan, penglibatannya untuk pertandingan tersebut bukan untuk menang tapi nak memperkenalkan seni silat melayu.

“Rupa-rupanya dia ada perancangan panjang sebab di masa akan datang dia ada projek tentang filem silat. Katanya, biarlah dari sekarang orang di China melihat apa itu silat. Itu puncanya abang terbabit dengan projek ini,” jelas Yusof yang menjalani penggambaran seni silat di Istana Lama Sri Menanti, Sri Menanti, Negeri Sembilan pada 25 September lalu.

Untuk rakaman video tersebut, dia telah mempamerkan empat jenis silat iaitu Kalung Jawa, Gayung Jawa, Pelanduk Tunggal dan Tapak Cemendir

“Tadi abang gabungkan empat jenis silat. Pertama dipanggil Kalung Jawa, kemudian Gayung Jawa dan yang melompat itu silat Pelanduk Tunggal. Itulah sejarah silat (pelanduk tunggal) yang dikutip daripada pelanduk yang menendang empat ekor anjing Parameswara semasa dia mula-mula menjejakkan kaki ke tanah Melaka. Selepas tu abang buat Tapak Cemendir.

“Silat-silat ini tak sama macam seni bela diri yang lain. Seni bela diri yang lain, siap tunjuk pukulan tapi silat Melayu tak tunjuk pukulan kerana ia tunjuk tertib kita menghadapi musuh. Kalau pukulan ditonton kepada orang, nanti pihak lawan dah tahu persediaan untuk menghadapi kita,” jelasnya tentang perbezaan silat Melayu yang penuh rahsia berbanding seni mempertahankan diri yang lain.

Tambahnya, dalam silat juga ada tari, akhlak dan sopan santunnya tapi kalau disebut pencak silat, ia tiada tari.

“Pencak silat adalah pukulan semata-mata, di situ bezanya tari dan pencak silat. Majlis kahwin itu adalah seni silat yang bermaksud pengiktirafan kepada Raja Sehari, jadi bagaimana hulu balang mempersembahkan diri kepada Raja Sehari.

“Tapi kalau pencak silat tak ditonjolkan kepada orang kerana itu rahsia permainan di gelanggang. Kalau jumpa di lorong di tepi jalan, itu dipanggil pencak silat, sedangkan tari silat untuk pengantin,” katanya yang mempelajari seni silat sejak usia lapan tahun hingga kini.

Jelas Yusof, buat masa sekarang dia ada mengajar beberapa orang murid yang berminat untuk mempelajari ilmu persilatan Melayu itu.

“Asas silat abang kutip sejak usia lapan tahun jadi abang bersilat dan sampailah sekarang. Sekarang abang mengajar kepada empat hingga lima orang murid saja. Abang sekadar nak wariskan tari silat dan pencak silat yang lebih kepada rahsia permainan.

“Silat kalau nak belajar tari, dua tiga tahun belum tentu cantik tarinya. Kalau pencak pula, hari pertama belajar, insya-Allah dah tahu menepis. Itu pesan guru abang. Dia kata, engkau kalau belajar silat, belajar pencak, belajar pukulan, engkau balik mesti dah boleh tepis apabila orang pukul.

“Berpencak ni dalam masa lima enam jam dah boleh counter attack. Tari tak boleh sebab ia pembentukan gesture seperti lentik badan, mata, tapak tangan, pusing siku dan dari situ orang tahu pergerakan kita ganas atau tidak,” jelasnya yang pernah menjadi penari Kompleks Budaya Negara.

Sementara itu, Dr. Mazlan Goh berkata, Yusof dipilih kerana pengalamannya sebagai pesilat lebih 50 tahun dan pengarah drama selama 22 tahun.

“Rakaman video berkenaan akan menonjolkan Yusof dengan gerak seni bela diri silat Melayu yang merupakan salah satu warisan kebudayaan di negara kita.

“Pilihan kami tepat kerana Yusof telah mendalami lebih daripada 10 jenis seni silat sejak berusia lapan tahun malah mempunyai pengalaman seni mempertahankan diri karate, tae kwan do dan shaolin,” katanya.

Jelas Dr. Mazlan, rakaman video dijalankan selama sehari berlatar belakangkan Istana Lama Seri Menanti kerana lokasi ini menonjolkan seni bina masyarakat Melayu di Negeri Sembilan.

“Saya dimaklumkan terdapat lebih 300 pasukan yang akan menyertai pertandingan ini. Saya mahu mengetengahkan silat Melayu ini bagi membolehkan orang luar atau pelancong mengenali budaya masyarakat Melayu di Malaysia,” jelasnya.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar tahun hadapan NQCC akan bekerjasama dengan sebuah syarikat perfileman dari China untuk menerbitkan filem epik, Laksamana Cheng Ho.

“Dalam filem itu nanti pasti ada babak pertarungan dan sebab itu saya mahu memperkenalkan seni silat pada pertandingan ini sebelum ia dipaparkan dalam filem berkenaan.

“Saya yakin seni silat dapat menarik minat bukan sahaja para juri di sana malah melalui filem ia mampu memperluaskan pengaruh seni mempertahankan diri bangsa Melayu.

“Saya mahu silat setanding dengan seni mempertahankan diri lain seperti kung fu, karate dan tae kwan do yang sebelum ini banyak dipaparkan dalam filem-filem aksi luar negara,” kata Dr. Mazlan Goh penuh yakin.

Ujarnya, selain filem Laksamana Cheng Ho, NQCC juga akan menerbitkan program berkonsepkan ‘travel log’ untuk memperkenalkan adat dan budaya Melayu, makanan dan tempat-tempat menarik di Malaysia.

Program bercorak travel log akan ditayangkan di CCTV dan akan dihoskan dua artis popular dari China. — BebasNews

Leave a Reply