PETALING JAYA — Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kemungkinan besar akan bertanding di mana-mana kerusi yang disandang oleh ‘pengkhianat’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kenyataan itu membayangkan bahawa Ketua Pembangkang itu kemungkinan tidak akan mempertahankan kerusi Port Dickson yang disandang sekarang.

“Kawasan kubu UMNO pun (PH) boleh masuk.Tetapi saya harus pilih kawasan-kawasan pengkhianat. Mesejnya bahawa pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima).

“Kemungkinan besar (saya bertanding) di kerusi pengkhianat,” katanya pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur (KLS) @DSAI di sebuah hotel, di sini malam ini.

Anwar tidak menamakan kawasan berkenaan tetapi terdapat beberapa orang wakil rakyat PKR yang dianggap pengkhianat kerana meninggalkan PKR melalui Langkah Sheraton sehingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14, bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut mengikut langkah Ahli Parlimen Gombak itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beberapa nama lain termasuk Menteri Luar Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Edmund Santhara Kumar Ramanaidu (Segamat), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Anwar, yang juga Pengerusi PH menang kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti sebanyak 23,560 undi, menewaskan enam lagi pencabarnya daripada parti Pas dan Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Oktober 2018.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

— BebasNews

Leave a Reply