Zahid Hamidi - Photo via Blogspot

SEPANG 29 Sept. — Kerajaan wajar mendedahkan laporan hasil siasatan ke atas buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sudah disiapkan Pasukan Petugas Khas, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmd Zahid, laporan itu tidak sepatutnya dibiarkan disimpan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi akan mengulangi kertas siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara `lantikan politik’ itu.

“Laporan Pasukan Petugas Khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan mengenai isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berharap Kabinet tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu berikutan sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” katanya.

Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan Tommy akan dibentangkan kepada jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Katanya, pembentangan itu bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.

Ahmad Zahid berkata, laporan itu juga mendedahkan kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO Ogos tahun lalu meminta supaya kerajaan segera menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy.

“RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply