Azam Baki

PETALING JAYA — Di sebalik ketegasan orang nombor satu agensi penguatkuasa rasuah negara, Azam Baki sebenarnya bercita-cita menjadi saudagar minyak wangi, amat berbeza dengan tanggungjawab dipikulnya sekarang.

Berkongsi sisi lain dalam temubual dengan Mutiara FM, menurut Azam, tidak pernah terlintas di fikirannya menjadi sebahagian daripada pasukan pencegah rasuah selepas menamatkan pengajian dengan memegang diploma kejuruteraan elektrikal di sebuah universiti awam tempatan pada 1984.

Hanya ada dua pilihan di mindanya ketika itu, mahu menjadi jurutera mengikut kelulusannya atau penjual minyak wangi.

“Saya hendak jadi penjual minyak wangi sebab suka bau haruman minyak wangi,” katanya yang bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada beliau akan meneruskan cita-citanya itu selepas menamatkan perkhidmatan dalam agensi kerajaan itu tahun depan.

Cerita Azam, dalam membuat keputusan itu beliau ditawarkan menganggotai Badan Pencegah Rasuah (BPR) kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memanjat setiap tangga kenaikan pangkat hingga dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.

“Saya masuk dengan lulusan diploma, saya tak malu nak kata begitu.

“Saya ingat lagi 1984 saya dapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk belajar di United Kingdom (UK), tetapi disebabkan masalah komunikasi dengan universiti itu, BPR datang tawarkan saya jawatan,” kongsinya.

Azam yang dilantik ke jawatan dipegangnya sekarang ketika pergolakan politik negara pada 2020, turut tidak terkecuali dengan kontroversi termasuk dakwaan beliau membeli jutaan saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata isu pemilikan Azam telah selesai dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memutuskan bahawa tiada kes berhubung isu ini dan beliau juga telah disoal siasat tiga jawatankuasa SPRM.

Berkongsi minatnya ketika ini, Azam berkata beliau lebih gemar berbasikal atau berjalan kaki di masa lapangnya untuk mencari ilham mengendalikan agensi seliaannya itu.

“Saya suka berbasikal, atau berjalan ambil angin. Itu yang saya buat sekarang kerana dari situ datang ilham untuk kendalikan jabatan saya.

“Pada saya SPRM ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan saya perlukan ilham…masa berbasikal, masa berjalan, ilham tu datanglah,” katanya.

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/29/jika-tak-masuk-sprm-saya-mungkin-jadi-jurutera-atau-saudagar-minyak-wangi-kongsi-azam-baki/

— BebasNews

Leave a Reply