SEMUA sedia maklum pelakon veteran Mak Jah ada kanser rahim yang dihidapinya sejak tahun 2016 lagi. Buat masa ini kanser tersebut masih ditahap satu. Untuk kekal sihat, Mak Jah atau nama sebenarnya, Maimunah Ahmad,74, terpaksa makan pil berharga RM1,200 ini sebulan sekali untuk mengelak kanser tersebut daripada aktif.

“Mak Jah bukannya orang kaya. Dulu dah habis barang kemas Mak Jah gadai untuk berubat dan kini harap duit berlakon dan pemberian anak-anak untuk beli ubat dan makan minum Mak Jah sehari-hari. Anak-anak ada keluarga mereka sendiri, takkan Mak Jah nak menyusahkan mereka.

“Ogos lalu Mak Jah dah pergi buat MRI di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan nampaknya 4 Oktober ini Mak Jah kena pergi sekali lagi buat MRI. Sekali buat MRI kena RM200. Itu sebabnya Mak Jah kena berlakon, sekarang semua nak guna duit. Tak tahulah apa lagi yang doktor tu nak cek lagi,’’ kata Mak Jah ibu kepada tiga cahaya mata ini yang akan terus berlakon selagi khidmatnya diperlukan.

Mak Jah menambah,Alhamdulillah sekarang ini kesihatan semakin beransur pulih.

“Dengan izin Allah, kesihatan Mak Jah semakin okey. Bulan puasa lalu, Mak Jah dapat puasa penuh. Tapi masa bulan Rejab dan Syaaban yang lalu sebelum bulan puasa, Mak Jah sakit kuat. Bacaan kencing manis terlalu tinggi hingga tak keluar angka.

“Doktor dah nak tahan dalam ward. Tapi Mak Jah tolak dan kata nak duduk dan berehat dirumah serta memantau sendiri kesihatan. Waktu tu Covid-19 tengah mengganas. Takut pula Mak Jah nanti lain penyakit pula yang dapat. Alhamdulillah, Mak Jah dapat kawal makan dan minum untuk elak kencing manis daripada naik bacaannya.”

Dalam kesukaran mengharungi hari-hari tuanya serta menanggung sakit, namun ada juga `suara-suara jahat’ yang dengki melihat Mak Jah yang masih aktif berlakon. Ujar Mak Jah lagi, kadang-kadang dia terdengar juga ada pelakon yang mengutuknya dah tua-tua pun nak berlakon. Dari berlakon lebih baik jaga cucu.

“Mak Jah tak kisah siapa pun nak kutuk. Kalau cakap berdepan Mak Jah, ada jawapannya yang Mak nak cakap…`kau tak sedar aku ni berdarah seni..seni itu halus dalam umbi hati seperti sutera’. Macam mana pun Mak Jah akan merindui dunia lakonan jika Mak Jah tidak berlakon lagi.

“Kalau dah lama tidak berlakon rasa rindu sangat nak berjumpa kawan-kawan..krew-krew dah macam anak-anak sendiri. Mereka semua hormatkan Mak Jah dan panggil mak pada Mak Jah. Dalam umur-umur begini memang dah tak larat, selalu sakit sana dan sakit sini.

“Namun Mak Jah bersyukur kerana masih banyak produksi drama antaranya Zeel Production yang memanggil berlakon dengan bayaran yang setimpal. Mak Jah berlakon pun bukannya nak banyak scene. Dua hari hingga lima hari berlakon pun dah cukup buat Mak Jah. Duit itulah yang nak digunakan untuk rawatan, supplemen dan beli vitamin yang berharga antara RM400 hingga RM500 sebulan.”

Mak Jah mempunyai 11 orang cucu serta 9 orang cicit. Kini Mak Jah tinggal bersama cucunya di PPR Laksamana, Jalan Pudu.

“Mak Jah tak boleh tinggal seorang diri. Dulu Mak Jah pernah jatuh dan pengsan dan akibatnya Mak Jah terpaksa di tahan dalam ward selama tujuh hari. Sekurang-kurangnya ada juga cucu yang nak tinggal bersama Mak Jah,” kata Mak Jah lagi yang kini lebih senang hidup bersendirian sejak bercerai dengan suaminya, Bakri Haji Abdul Rahim pada tahun 2009. — BebasNews

Leave a Reply