KUALA LUMPUR — Sebanyak 8,000 unit rumah kuota Bumiputera bernilai hampir RM6 bilion akan dipamerkan untuk jualan sempena Pameran Satu Rumah, Satu Keluarga Bumiputera Malaysia (BPEX) pada 1 dan 2 Oktober ini.

Pameran anjuran Marvel Management Communication Sdn. Bhd. (MMC) itu akan berlangsung di Dewan 3, Mid Valley Exhibition Centre di sini bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Pengarah Urusan MMC, Datuk Nor’ashikin Taib berkata, pameran melibatkan pemaju-pemaju di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, hampir 3,000 unit rumah adalah dari pemaju di sekitar Kuala Lumpur yang bernilai hampir RM2 bilion manakala 5,000 unit lagi melibatkan pemaju-pemaju di sekitar Selangor yang bernilai RM4 bilion.

“Anggaran harga unit yang akan dipamerkan adalah bermula dari RM250,000 sehingga RM1.6 juta,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau memberitahu, pameran bertujuan meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam bidang hartanah dan menggalakkan Bumiputera khususnya orang Melayu, celik hartanah dan meningkatkan pemilikan hartanah sebanyak 30 peratus.

Pameran ini juga membawa aspirasi kerajaan yang memperkenalkan pelbagai skim bagi membantu golongan Bumiputera memiliki rumah di sekitar Lembah Klang dan istimewa untuk pembeli Skim Rumah Pertamaku.

Ia juga dapat membantu golongan B40 atau M40 memiliki rumah melalui skim yang ditawarkan seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dari Kementerian Kewangan, Skim Rumah Pertamaku (SRP) dari Cagamas dan Skim PR1MA Rent-To-Own (RTO).

Menurut Nor’ashikin, pembeli Bumiputera berpeluang membuat pilihan hartanah yang pelbagai dan menikmati harga promosi dan juga diskaun untuk Bumiputera sehingga 15 peratus.

“Promosi lain berupa subsidi percuma perjanjian jual beli, setem duti dan pelbagai lagi seperti kelengkapan kabinet dapur, baucar perabut dan peralatan elektrikal percuma juga akan disediakan oleh pemaju rumah di pameran ini,” katanya.

Beliau memberitahu, pameran itu juga mendapat perhatian dan sokongon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pemaju yang terlibat dengan pameran termasuk Platinum Victory, PKNS, SP Setia, Malton Berhad, OCR Group Berhad, MCT Berhad, IJM Corporation Berhad, UEM Sunrise, EUPE Corporation Berhad, MKH Berhad, Glomac Group dan TS Law.

Pameran dijangka dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib pada 1 Oktober pukul 5.30 petang dan penutup oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim,
pada 2 Oktober pukul 8 malam. — BebasNews

Leave a Reply